Home > Bahasa Melayu
60 Peserta Perdengarkan Hafazan Pada Separuh Akhir Musabaqah
Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
February 14th, 2024 | 07:52 AM |
114 views
BERAKAS
Seramai 60 peserta akan memperdengarkan hafazan masing-masing pada Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1445 Hijrah yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 15 Februari 2024, bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya dibahagikan kepada lima kategori, iaitu Kategori 'A'; Kategori 'B'; Kategori 'C'; Kategori 'D'; dan Kategori 'E'.
Sehubungan dengan itu, pada hari pertama seramai 12 peserta terdiri daripada enam lelaki dan enam perempuan bertanding dalam Kategori 'B', Menghafaz Surah-surah Pilihan, iaitu Surah Luqman; Surah As-Sajdah; Surah Yaasiin; Surah Ar-Rahman; Surah Al-Waqi'ah; Surah Al-Jumu'ah; Surah Al-Mulk; Surah Al-Jinn; dan Surah Al-Insan, Berserta Pemahamannya, Surah Al-Qasas dan Surah Al-'Ankabut.
Kemudian diteruskan lagi dengan Musabaqah Menghafaz Al-Quran bagi Kategori 'C' seramai 12 peserta, iaitu enam lelaki; dan enam perempuan; serta Menghafaz Surah Al-Baqarah dan Surah Ali 'Imran Berserta Pemahamannya, Surah Yunus dan Surah Hud.
Musabaqah akan diteruskan pada hari kedua, iaitu bagi Kategori 'D', Menghafaz 15 Juz Al-Quran dari Juz 1 hingga juz 15, iaitu Surah Saba'; Surah Fatir; dan Surah Yaasiin berserta Pemahamannya (12 peserta), dan Kategori 'E', Menghafaz 30 Juz Al-Quran dari Juz 1 hingga Juz 30, iaitu Surah Al-Fatihah; dan Surah Al-Baqarah Berserta Pemahamannya (12 peserta).
Manakala hari terakhir akan mendengarkan peserta bagi Kategori 'A', Menghafaz 1 Juz Al-Quran, iaitu Juz 30 Berserta Pemahamannya Juz 30 (12 peserta).
Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya merupakan salah satu projek tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS bagi menyemarakkan hari-hari kebesaran Islam, dan ia merupakan antara pengisian dalam atur cara Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara yang diadakan pada setiap tahun.
Antara tujuan musabaqah berkenaan diadakan adalah bagi menggalakkan umat Islam di negara ini untuk berjinak-jinak mencintai Al-Quran melalui hafazan dan menjadikannya sebagai satu rutin dan amalan harian di samping untuk menambahkan lagi golongan para penghafaz Al-Quran di negara ini, serta mendapatkan pahala dan ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Selain itu, ia juga bagi mendorong dan membantu peserta dan orang ramai untuk memahami maksud apa yang terkandung dalam Al-Quran termasuk fakta-fakta surah, nasihat, pengajaran dan hukum-hukum tajwid.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]