Home > Bahasa Melayu
Bendera Negara Diagihkan
Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
February 17th, 2024 | 07:44 AM | 62 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang Ke-40 Tahun bermula dengan Upacara Menaikkan Bendera Besar di ibu negara, disusuli dengan Majlis Menaikkan dan Pengagihan Bendera Negara Brunei Darussalam di keempat-empat daerah hari ini.
Di Daerah Brunei dan Muara (DBM), Majlis Menaikkan dan Pengagihan Bendera Negara Brunei Darussalam telah berlangsung di Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM), yang dihadiri oleh Pemangku Pegawai DBM, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dibacakan oleh Ketua Kampung Kasat, Mukim Lumapas, Awang Haji E'rifin bin Haji Mohd Yusof.
Kemudian majlis diteruskan dengan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam (NBD) bertempat di kawasan Letak Kereta JDBM, yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis kepada Anggota Pasukan Polis Diraja Brunei bagi Upacara Menaikkan Bendera dengan diiringi Lagu Kebangsaan NBD.
Seterusnya, majlis disusuli dengan Pengagihan Bendera-Bendera dan penyampaian sijil penghargaan yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis kepada penghulu-penghulu, persatuan-persatuan, pihak-pihak swasta dan NGO yang diadakan di Dewan Teater, JDBM.
Turut hadir, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Penghulu-penghulu Mukim, Ketua-ketua Kampung dan Pemangku Ketua-ketua Kampung DBM, wakil Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei, Kadet Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Jabatan Ko-Kurikulum, Pasukan Pancaragam Bomba dan Penyelamat, Universiti-universiti Brunei, Persatuan-persatuan, Ketua Pegawai Datastream Digital (DST), Pegawai Eksekutif Progresif Cellular Sendirian Berhad, Royal Brunei Airlines, Imagine Sendiri Berhad, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei, Dewan Perniagaan India, Pasukan Koir Syababul Bahir, Media Massa serta pegawai-pegawai dan kakitangan JDBM.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Haniza Abdul Latif
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]