Home > Bahasa Melayu
410.23kg Sampah Berjaya Dikumpulkan
Alishahrin Haji Mumin
February 18th, 2024 | 08:41 AM | 146 views
TUTONG
Kementerian Kesihatan telah mengadakan Kempen Kebersihan Senegara Persisiran Pantai bagi serpihan laut Coastal Marvel bertempat di Pantai Seri Kenangan, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat dan ikut serta dalam kempen tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Antara objektif kempen kebersihan ini diadakan adalah bagi mengumpul 'baseline data' atau data asas serpihan laut di persisiran; mengenal pasti jenis serpihan laut yang ada; dan memperkasa masyarakat untuk menanamkan rasa tanggungjawab dalam melindungi dan memelihara alam sekitar melalui kaedah pembuangan sampah yang betul.
Kempen Kebersihan Senegara Persisiran Pantai tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa oleh Ketua Guru Agama, Jabatan Kesihatan Tutong, Awang Abd. Yazid bin Haji Rosli Aziz.
Majlis diteruskan lagi dengan sesi bergambar ramai dan Kempen Kebersihan dimulakan. Seterusnya, sesi menimbang sampah iaitu sebanyak 89 beg sampah seberat 410.23 kilogram telah berjaya dikutip semasa Kempen Kebersihan dijalankan.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr. Ang Swee Hui; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Anie Haryani binti Haji Abd. Rahman; Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, ketua-ketua jabatan, berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]