Home > Bahasa Melayu
Khatam Al-Quran Serikan Sambutan Ulang Tahun HK NBD
Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
February 24th, 2024 | 08:00 AM | 202 views
BERAKAS
Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) hari ini mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan (HK) Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-40 bagi Tahun 2024 bertempat di Ibu Pejabat PPPBD, Anggerek Desa.
Majlis merupakan salah satu daripada kegiatan keagamaan tahunan persatuan dan sebahagian daripada rangkaian kegiatan di bawah projek berpanjangan persatuan Projek Pencinta Kalam Allah yang bertujuan untuk menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun HK NBD Ke-40 dengan kegiatan-kegiatan keagamaan dan bermanfaat.
Di samping itu, ia juga untuk memupuk budaya membaca, memahami dan mendalami Al-Quran dalam kalangan ahli persatuan sekali gus mendidik ahli-ahli daripada aspek kerohanian serta mendekatkan diri kepada Al-Quran yang merupakan panduan hidup yang lengkap juga mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan memupuk perasaan muhibah dalam kalangan ahli persatuan.
Sebanyak dua kumpulan pembaca yang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Jawatankuasa Tadbir, Pemimpin-pemimpin Dewasa, Pemimpin-pemimpin Muda, Pandu Puteri Ranjer dan Pandu Puteri telah menyelesaikan bacaan masing-masing untuk melengkapkan bacaan kesemua 30 juzuk Al-Quran bagi kumpulan masing-masing.
Hadir pada majlis berkenaan, Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd. Ali; dan Pesuruhjaya Antarabangsa, PPPBD, Dayang Norazrina binti Haji Sarbini.
Turut hadir, ahli–ahli persatuan yang terlibat dalam Projek Pencinta Kalam Allah yang telah melengkapkan bacaan 30 juzuk Al-Quran setiap seorang.
Antara pengisian majlis ialah Solat Fardu Asar Berjemaah, bacaan Doa Kesyukuran dan Doa HK sempena Sambutan Ulang Tahun HK NBD Ke-40 serta bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan NBD yang diimamkan dan dipimpin oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Dayang Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani.
Sementara itu, bacaan Takhtim dan Doa Khatam Al-Quran pula dibacakan oleh Pemimpin-pemimpin Muda PPPBD.
Selain kegiatan-kegiatan perkembangan kemahiran, kemasyarakatan dan kebudayaan, PPPBD turut aktif dalam mengungkayahkan kegiatan-kegiatan yang bersifat kerohanian dan keagamaan yang melibatkan penyertaan ahli-ahli daripada semua peringkat.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Nooratini Haji Abas
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]