Home > Bahasa Melayu
Bengkel Galakkan Pelajar Meninggi Tahap
PENERIMA Biasiswa Chevening 2016/17, Yang Berhormat Khairunnisa Asy'ari (kiri) juga antara yang turut mengongsikan pengalamannya pada bengkel tersebut.
January 19th, 2017 | 10:16 AM | 1287 views
UNITED KINGDOM
Bagi menggalakkan pelajar untuk terus meningkatkan tahap pengajian (meninggi tahap) mereka serta pendedahan lanjut mengenai proses permohonan Biasiswa Canselor, Sultan's Scholar dan lain-lain peluang biasiswa, seramai 20 orang peserta telah mengikuti Bengkel 'Meninggi Tahap' yang telah diadakan di Brunei Hall, London pada 8 Januari 2017 yang lalu.
Pada bengkel tersebut, pembentangan mengenai proses 'Meninggi Tahap' telah disampaikan oleh Pegawai Penyelaras Akademik dari Unit Pelajar Brunei, United Kingdom, Dayang Siti Huzaimah binti Haji Jahri / Azahari.
PEGAWAI Penyelaras Akademik dari Unit Pelajar Brunei, United Kingdom, Cikgu Siti Huzaimah binti Haji Jahri / Azahari membentangkan mengenai proses 'Meninggi Tahap' di awal bengkel berkenaan.
Sesi ini diikuti oleh pembentangan mengenai proses permohonan biasiswa dan tip-tip utama daripada Dayang Sarah Ghazali, penerima Canselor Scholar 2015/16, Vance Tan, penerima Yayasan Sultan Scholar 2016/17, dan Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash'ari, penerima Chevening Scholar 2016/17.
Semua penceramah bukan sahaja berkongsi proses memohon pelbagai biasiswa, tetapi juga tip-tip utama bagaimana mencapai kecemerlangan.
Beberapa tip yang dikongsi oleh Dayang Siti Huzaimah adalah jika seseorang itu ingin memohon apa-apa jenis biasiswa ia adalah bagi mensejajarkan kepentingan peribadi dengan kepentingan penyedia biasiswa.
Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan kini menumpukan kepada topik tertentu demi masa depan Negara Brunei Darussalam. Adalah lebih baik bagi pemohon untuk memilih kursus-kursus yang diperlukan atau mempunyai sekurang-kurangnya yang dekat dengan mereka. Ia juga penting untuk benar-benar berfikir tentang bagaimana kursus-kursus ini boleh memberi manfaat kepada Brunei.
PENERIMA Biasiswa Canselor (UBD) 2015/16, Sarah Ghazali juga mengongsikan pengalaman beliau memohon biasiswa tersebut.
Tip lain yang juga dikongsikan adalah untuk mengambil pelbagai inisiatif, seperti tidak hanya memohon satu jenis biasiswa, malah cuba memohon untuk Sarjana dan juga Doktor Falsafah (PhD), mempertimbangkan penempatan kerja, dan sebagainya.
Dayang Sarah Ghazali telah berkongsi pengalamannya dalam memohon Biasiswa Canselor dimana tip-tip utama beliau adalah untuk mula berfikir tentang permohonan Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) lebih awal, terutamanya jika hendak membuat keputusan untuk menjadi seorang penyelidik.
Di samping itu, dengan menjalani penempatan bersama Universiti Brunei Darussalam (UBD) juga boleh membantu dalam mengorientasikan minat dengan keperluan UBD dan Brunei secara amnya.
Manakala, Vance Tan pula berkongsi pengalaman beliau semasa memohon bagi Yayasan Sultan Scholar yang mana apa yang mustahak semasa permohonan dan temuduga adalah untuk menunjukkan kepintaran dan kepekaan tentang persekitaran kita.
PENERIMA biasiswa Sultan's Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) 2016/17, Vance Tan, mengongsikan pengalaman beliau semasa memohon Sultan's Scholar.
Menurutnya, adalah penting juga untuk harus mengingati tentang matlamat organisasi, iaitu 'untuk melahirkan generasi masa depan yang berilmu, berkemahiran, berdisiplin, dan berakhlak mulia, bagi kesejahteraan masa depan agama, bangsa dan raja'.
Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash'ari dalam pada itu pula menekankan bahawa terdapat banyak biasiswa lain yang dapat dipohon seperti biasiswa Chevening. Melalui biasiswa tersebut terdapat banyak faedah yang diberikan seperti akses kepada rangkaian, elaun, lawatan serta peluang-peluang lain pasca-Chevening.
Pada akhir bengkel, para peserta masing-masing melahirkan bagaimana bengkel tersebut memberikan mereka inspirasi untuk meningkatkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
Ada lebih banyak peluang untuk meneroka pada masa akan datang, bukan sahaja memberi tumpuan kepada mendapat Sarjana, tetapi juga PhD, penempatan kerja, menjadi pembantu penyelidik, dan sebagainya.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Persatuan Penuntut-Penuntut Brunei di United Kingdom dan Ireland
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]