Home > Bahasa Melayu
Pesta Pengguna Ke-19 dilancarkan
MENTERI Pehubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat merasmikan Pesta Penguna Ke-19 (19th Consumer Fair) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas (ICC).|FOTO : PELITA BRUNEI (Azmah Haji Ahad)
January 19th, 2017 | 10:25 AM | 1109 views
BERAKAS
Rabu, 18 Januari. - Pesta Pengguna Ke-19 (19th Consumer Fair - CF19) yang bermula hari ini sehingga 22 Januari 2017, di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk aktiviti-aktiviti sampingan seperti kuiz dan cabutan bertuah.
Sehubungan itu, Majlis Pelancaran CF19 telah dirasmikan oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat.
PENGARAH Eksekutif D'Sunlit Sendirian Berhad, Dato Paduka Haji Danial bin Haji Hanafiah semasa berucap di majlis tersebut.
Juga hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah pegawai-pegawai kerajaan, Duta-Duta Besar Istimewa dan Mutlak ke Negara Brunei Darussalam, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi, ketua organisasi dan rakan kongsi CF19.
Pengarah Eksekutif D'Sunlit Sendirian Berhad, Dato Paduka Haji Danial bin Haji Hanafiah dalam ucapannya menjelaskan, kira-kira 400 petak jualan terlibat pada CF19 yang menampilkan pelbagai produk berkualiti seperti barang elektronik, makanan, hadiah, perkhidmatan kewangan dan bermacam-macam lagi dari Brunei Darussalam dan negara-negara lain.
CF19 juga jelasnya, memfokuskan dengan memberi tumpuan kepada menyokong dan menggalakkan usaha amal dengan menyediakan beberapa peluang untuk orang ramai bagi menyumbang kepada masyarakat.
''Tema CF19 pada tahun ini ialah 'The year is yours, what will you do with it?' Bertepatan dengan tema, CF19 memfokuskan aspek ke arah 'memberi balik' atau 'giving back' yang mana selain menawarkan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan, terdapat pelbagai aktiviti yang menggalakkan membantu beberapa NGO seperti SMARTER Brunei, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNAB) dan juga Yayasan Kanser Kanak-Kanak (YASKA),'' terang beliau.
PEGAWAI Pemasaran dan Bahagian Pengurusan D'Sunlit Sendirian Berhad, Noor Aqeelah binti Ahmad Sanusi semasa ditemu bual oleh Pelita Brunei.
Sementara itu, Pegawai Pemasaran dan Bahagian Pengurusan D'Sunlit Sendirian Berhad, Dayang Noor Aqeelah binti Ahmad Sanusi ketika ditemui berkata, terdapat sebanyak 400 petak jualan dan seramai lebih 200 peserta menyertai pameran dari dalam dan luar negara seperti Malaysia, Kemboja, Republik Singapura dan juga Pakistan.
Beliau berharap CF19 kali ini, juga akan mendapat sambutan daripada orang ramai seperti tahun-tahun sebelumnya.
PENGARAH Jualan Syarikat Royale Chesterfield Brunei, Syarikat Royale Chesterfield Brunei, Awang Fadli bin Suraidi mempromosi perabot yang berasaskan dari bahan kulit pada CF19 di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.
Manakala Pengarah Jualan Syarikat Royale Chesterfield Brunei, Awang Fadli bin Suraidi, salah seorang peserta pameran CF19 berkata, ini merupakan kali pertama Syarikat Royale Chesterfield Brunei menyertai Pesta Pengguna ini.
''Syarikat Royale Chesterfield Brunei menjual perabot yang berasaskan dari bahan kulit 'leather' dengan harga tawaran yang sangat menarik. Syarikat ini mula ditubuhkan sejak 15 tahun lalu di Malaysia dan kini kami membuka cawangan pertama kami di Brunei sejurus selepas habis Pesta Pengguna ini. Kami mula memasarkan perabot kami mengikut tempahan individu dari Brunei sejak 10 tahun yang lalu. Orang ramai boleh berkunjung ke CF19 untuk melihat kualiti perabot kami secara lebih dekat dan membuat tempahan mengikut warna dan jenis perabot yang mereka suka yang selalunya mengambil masa dalam empat minggu untuk siap dan dua minggu lagi untuk proses penghantaran.
''Saya berharap dengan penyertaan syarikat di CF19 ini akan dapat lagi menarik minat orang ramai yang meminati perabot yang berasaskan bahan kulit 'leather' dengan kualiti yang tinggi serta harga tawaran yang sangat berpatutan,'' tambahnya.
PENGURUS Komunikasi Korporat dan Projek Khas, Ghanim International Corporation Sdn. Bhd., Dayang Melline binti Jaini (tengah) bersama-sama rakan beliau mempamerkan produk 'Brunei Halal' di Pesta Pengguna Ke-19.
Manakala bagi Pengurus Komunikasi Korporat dan Projek Khas, Ghanim International Corporation Sendirian Berhad, Melline binti Jaini berkata, produk syarikatnya yang terkenal dengan label 'Brunei Halal' baru-baru ini telah mula mengeksport produk-produk makanan mereka ke China.
''Alhamdulillah, baru-baru ini juga, syarikat telah berjaya menghasilkan 20 jenis produk baharu. Seperti tahun-tahun yang sudah, kami berharap penyertaan kami melalui CF19 ini akan menjadi platform bagi syarikat untuk mengetengahkan produk-produk kami kepada orang ramai,'' katanya.
YANG Berhormat Menteri Perhubungan semasa melawat petak pameran Syarikat DST Group Sdn. Bhd., salah sebuah syarikat telekomunikasi tempatan di negara ini.
CF19 selama lima hari ini dibuka bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam kecuali pada hari Jumaat ditutup dari 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang bagi Solat Fardu Jumaat.
Orang ramai yang ingin mengunjungi CF19 bolehlah menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik dari tempat letak kereta Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah ke lokasi jualan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Aimi Sani
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]