Home > Bahasa Melayu
Berangkat merasmikan bangunan baharu ISB
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima junjung ziarah daripada pelajar-pelajar Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) ketika baginda bercemar duli berangkat merasmikan bangunan baharu sekolah berkenaan. | INFOFOTO
April 20th, 2016 | 11:11 AM | 3833 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Selasa, 19 April. - Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) mencatat satu sejarah dengan tertubuhnya bangunan baharu ISB dilengkapi dengan pembelajaran dan kemudahan yang berkualiti tinggi dan moden.
Bukan sahaja itu, sejarah juga tercipta melalui perasmian bangunan baharu sekolah berkenaan yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di ISB, Jalan Utama Salambigar, Kampung Sungai Hanching, Mukim Berakas 'B' dijunjung oleh Pengerusi Lembaga ISB, Awang Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa dan Pengetua ISB, Dr. Steven Paul Geraghty.
Juga hadir, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Bahrin bin Abdullah.
Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah DYMM dijunjung bagi sesi bergambar ramai sebelum dijunjung ke auditorium.
Atur cara majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Pengerusi Lembaga ISB, Awang Haji Ahmad yang antara lain menyembahkan dengan perasmian bangunan ISB yang baharu ini, ia menjadikan peristiwa yang bersejarah bagi sekolah berkenaan.
Jelasnya, ISB kini berusia lebih 52 tahun dan sebahagian daripada mereka yang telah lama berada di sekolah ini secara rasminya mengucapkan selamat tinggal kepada kampus lama dan selamat datang ke sekolah baharu.
Sebagai institusi pengajian tinggi tambahnya, kita seharusnya memastikan generasi yang akan datang supaya bersedia dan berada dalam kedudukan terbaik untuk menghadapi sebarang cabaran dan perubahan yang akan datang.
''Dengan kampus sekolah baharu ini, saya percaya ISB akan dapat melakukan hal itu dan menghadapi masa depan dengan yakin sebagai sebuah institusi yang menawarkan kemudahan pembelajaran abad ke-21 bertaraf dunia yang akan terus menyediakan pendidikan yang cemerlang bagi generasi masa depan rakyat Brunei untuk tahun yang akan datang,'' ujarnya.
Kebawah DYMM kemudian memulakan lawatan ke kolam renang dan dewan sukan bagi menyaksikan aktiviti-aktiviti serta Latihan Jasmani pelajar-pelajar sekolah berkenaan diikuti berkenan mengadakan lawatan ke dewan kantin dan Taman Eco.
Baginda kemudian berkenan mengadakan lawatan ke bangunan kediaman yang disediakan di ISB.
Bangunan kediaman menyediakan para pelajar suasana kehidupan yang harmoni dengan mementingkan keunikan perbezaan budaya pelajar masing-masing serta membolehkan mereka untuk belajar dan meneroka idea, nilai dan sejarah berasaskan keunikan budaya para pelajar.
Pengalaman tinggal bersama juga mengajar para pelajar mengenai persamaan pada diri mereka yang dapat dikongsi serta dapat mendidik mereka untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab, produktif dan beretika dengan kemahiran berfikir secara kreatif, kritis dan komunikasi yang berkesan di samping hormat budaya lain dan alam sekitar.
Dari bangunan kediaman ISB, Kebawah DYMM kemudian dijunjung ke ruang legar Piano Steps bagi menandatangani plak dan seterusnya menyempurnakan perasmian bangunan baharu ISB.
Sebelum meneruskan lawatan, Kebawah DYMM juga menerima pesambah dari pelajar-pelajar ISB yang berupa koleksi gambar semasa baginda mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan sebelum ini dan seterusnya berkenan beramah mesra bersama pelajar-pelajar ISB.
Paduka-paduka anakanda dan cucunda baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah juga merupakan pelajar-pelajar ISB.
Kebawah DYMM kemudian meneruskan lawatan ke Bangunan Neram yang menempatkan Pre Kindy dan Kindy diikuti mengadakan lawatan ke Bangunan Gaharu bagi penuntut Tahun 1, 2 dan agama.
ISB telah dirasmikan oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien pada 9 Mac 1986.
Sekolah ini menawarkan pembelajaran bagi Tahun Awal (penuntut berumur 2 hingga 5 tahun), Pendidikan Rendah (penuntut berumur 5 hingga 11 tahun), Pendidikan Menengah (penuntut berumur 11 hingga 16 tahun) dan juga peringkat International Baccalaureate (bagi penuntut berumur 16 hingga 19 tahun).
Sekolah baharu ISB mempunyai keluasan 22 ekar dan telah mula beroperasi pada bulan Ogos tahun lalu yang mana pada masa kini ISB mempunyai 1,260 keramaian pelajar daripada lebih 46 buah negara.
Sekolah tersebut dilengkapi dengan kemudahan dan ruang yang besar seperti Studio Film, kolam renang, The Gym, ruang kelas yang lebih besar, bilik muzik, teater, tiga buah kantin dan padang.
ISB merupakan sekolah yang berstatus eco school dalam usaha untuk mengetengahkan isu kemampanan semula jadi yang menarik di Borneo, selain menyokong perlindungan yang sedia ada melalui inisiatif pemuliharaan negara.
Keputusan untuk membina kampus hijau adalah salah satu usaha ISB bagi menunjukkan komitmen jangka masa panjang kepada pemuliharaan kemampanan alam sekitar.
Selain menjadi perintis inisiatif penanaman semula hutan seperti Project Million Trees, ISB juga membina sebuah pusat kitar semula berhampiran kawasan kampus yang berperanan sebagai pusat pendidikan bagi melindungi planet.
ISB bukan sahaja menyediakan pembelajaran dan kemudahan yang berkualiti tinggi dan moden tetapi juga menggalakkan kecemerlangan dalam semua aspek perkembangan para pelajar selain mendorong pelajar ke tahap yang lebih tinggi dari akademik dan bukan akademik.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Saerah Haji Abdul Ghani
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]