Home > Bahasa Melayu
Mesyuarat bincang persiapan Hari Keluarga Kebangsaan Ke-6
MESYUARAT dipengerusikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi sambutan berkenaan.| Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
March 23rd, 2017 | 07:54 AM | 1208 views
BANDAR SERI BEGAWAN
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 Mac. - Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan mengadakan mesyuarat pertama hari ini bagi membincangkan persediaan-persediaan dan persiapan-persiapan bagi menyambut Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) Ke-6 yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi sambutan berkenaan.
Hari Ahad pada minggu pertama bulan Mei adalah diisytiharkan sebagai HKK bagi Negara Brunei Darussalam dan pada tahun ini jatuh pada 7 Mei 2017 Masihi bersamaan 10 Syaaban 1438 Hijrah dengan tema ‘Keluargaku Penyayang Negara Gemilang’.
Fokus utama Sambutan HKK 2017 adalah untuk meningkatkan kesedaran betapa pentingnya rasa kasih sayang di antara ahli keluarga untuk menjana kebahagiaan dan keharmonian keluarga dan rumahtangga.
Antara lain yang dibincangkan dalam mesyuarat pagi tersebut adalah mengenai format acara-acara utama Sambutan HKK 2017 yang menjurus kepada aktiviti keugamaan, kemasyarakatan, kesukanan dan riadah yang melibatkan setiap ahli keluarga di segenap lapisan masyarakat.
Sambutan HKK 2017 sepertimana pada tahun-tahun sebelumnya didahului dengan Majlis Kesyukuran Sempena Hari Keluarga Kebangsaan di masjid-masjid utama di seluruh daerah yang akan diadakan pada 6 Mei 2017, kemudian diikuti dengan acara kemuncak, iaitu Acara Kayuhan dan Riadah Keluarga (sebelah pagi) dan Majlis Perhimpunan Keluarga (sebelah petang) pada hari Ahad, 7 Mei 2017, dan acara Anakku Kesayanganku pada 8 Mei 2017.
Harapan bagi Sambutan HKK tahun ini dapat mewujudkan kesedaran dan mengiktiraf keluarga sebagai unit asas yang penting dalam membina masyarakat penyayang yang menjadi asas kepada keharmonian negara. Oleh yang demikian, pembarigaan Sambutan HKK 2017 diseru untuk dipertingkatkan bagi menggalakkan setiap lapisan masyarakat untuk mengukuhkan lagi jalinan kasih sayang dan hubungan silaturahim di antara semua ahli keluarga samada yang dekat mahupun yang jauh.
Hadir di mesyuarat ini ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan juga wakil-wakil dari sektor swasta dan organisasi-organisasi bukan kerajaan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]