Home > Bahasa Melayu
Brunei - Pakistan tingkat hubungan persahabatan
March 23rd, 2017 | 07:57 AM | 824 views
BANDAR SERI BEGAWAN
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 23 Mac. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Islam Pakistan, Tuan Yang Terutama Mamnoon Hussain dan Perdana Menteri Republik Islam Pakistan, Tuan Yang Terutama Muhammad Nawaz Sharif serta kerajaan dan rakyat Republik Islam Pakistan sempena menyambut Pakistan Day.
Dalam titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada Presiden Republik Islam Pakistan, TYT Mamnoon Hussain, baginda merakamkan penghargaan di atas hubungan akrab yang sekian lama wujud di antara kedua-dua buah negara dan rakyat dan berharap akan terus meningkatkan hubungan persahabatan dan kerjasama yang sangat bernilai itu.
Sementara dalam titah perutusan Kebawah DYMM kepada Perdana Menteri Republik Islam Pakistan, TYT Muhammad Nawaz Sharif, baginda sangat menghargai persahabatan yang rapat dan kerjasama yang bermakna yang dikongsikan di antara Negara Brunei Darussalam dengan Republik Islam Pakistan, dan berharap akan terus dapat mengukuhkan hubungan tersebut, baik di peringkat dua hala mahupun antarabangsa.
Pada mengakhiri kedua-dua titah perutusan baginda itu, baginda berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Presiden Republik Islam Pakistan, TYT Mamnoon Hussain dan Perdana Menteri Republik Islam Pakistan, TYT Muhammad Nawaz Sharif sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat, kegembiraan dan kesejahteraan serta rakyat Republik Islam Pakistan akan terus beroleh kemajuan dan kemakmuran.
Source:
@BRUDIRECT.COM
by PMO
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]