Home > Bahasa Melayu
Pencapaian Bersejarah,Pusat Kesihatan Pengkalan Batu diiktiraf JCI
April 2nd, 2017 | 07:17 AM | 974 views
Bandar Seri Begawan
MUKIM PENGKALAN BATU, Sabtu, 1 April. – Akreditasi 'Joint Commission International (JCI)' adalah Gold Standard bagi fasiliti-fasiliti kesihatan yang mengutamakan pemberian penjagaan dan keselamatan pesakit di tahap yang tertinggi.
Proses penilaian Akreditasi JCI adalah khusus untuk memupuk budaya keselamatan dan kualiti di pusat-pusat penjagaan asasi serta memberikan jaminan bahawa piawaian, proses-proses serta latihan yang digunakan adalah ditahap penanda aras (benchmark) yang tertinggi di peringkat antarabangsa.
Perjalanan ke arah mencapai akreditasi JCI ini bukanlah mudah kerana terdapat 112 piawaian (standard) dan 456 elemen yang perlu dipatuhi dan piawaian ini bukan sahaja melihat kepada penambahbaikan proses tetapi juga melihat kepada hasil klinikal pesakit, keselamatan pesakit, kakitangan dan kemudahan serta latihan, pendidikan dan penilaian kompetensi pekerja (competency assessments of staff) untuk memastikan bahawa mereka mempunyai kemahiran yang diperlukan dan pengetahuan untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti tinggi serta selamat.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Zulkarnain bin Haji Hanafi menyatakan demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Akreditasi Joint Commission International (JCI) bagi Pusat Kesihatan Pengkalan Batu yang berlangsung di pusat kesihatan berkenaan, di sini.
Menurut Yang Berhormat, aspek-aspek ini telah pun dinilai oleh pihak JCI di mana pusat kesihatan ini telah berjaya menepati keperluan yang diperlukan.
Semua ini tambah Yang Berhormat adalah selaras dengan keutamaan Kementerian Kesihatan untuk memberikan sistem penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi, selamat (safe), tepat pada masanya (timely), komprehensif, efektif, responsif, mampu dibiayai, saksama dan mudah diperolehi oleh semua di negara ini,” jelas Yang Berhormat.
“Adalah terbukti apabila kita mengamalkan nilai-nilai teras warga Kementerian Kesihatan iaitu Pelanggan Diutamakan, Bersepadu, Cemerlang dan Dinamik dan bergerak sebagai satu kementerian, ('ONE MoH’), kita boleh mencapai apa jua tujuan yang dihasratkan dan menangani apa jua cabaran dengan sebaiknya”, ujar Yang Berhormat.
Dengan adanya akreditasi ini jelas Yang Berhormat, adalah diharapkan Pusat Kesihatan Pengkalan Batu ini akan menjadi benchmark atau penanda aras bagi pusat-pusat kesihatan dan hospital kerajaan lain di negara ini untuk mencapai piawaian antarabangsa dalam memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi lagi selamat.
Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan telah menyempurnakan penyampaian sijil JCI Pusat Kesihatan Pengkalan Batu kepada Pegawai Perubatan Kanan, Dr. Hajah Norafizan binti Haji Hazipin, selaku Ketua Pusat Kesihatan tersebut.
Pengiktirafan Pusat Kesihatan Pengkalan Batu sebagai pusat kesihatan yang diakreditasi oleh JCI adalah satu pencapaian bersejarah bagi Kementerian Kesihatan kerana pusat kesihatan ini adalah fasiliti kesihatan Kerajaan di Negara Brunei Darussalam yang pertama diakreditasi oleh JCI.
JCI ialah sebuah organisasi yang dikenali dan diiktiraf di peringkat global sebagai peneraju dalam akreditasi yang berperanan untuk memantapkan keselamatan dan kualiti penjagaan kesihatan di peringkat komuniti antarabangsa serta membantu memperbaiki prestasi penyampaian penjagaan kesihatan.
Pusat Kesihatan Pengkalan Batu telah mematuhi Piawaian JCI yang telah ditetapkan dan telah pun melaksanakan pelan, dasar dan prosedur bagi memastikan penambahbaikkan dan peningkatan kualiti yang berterusan, sistematik dan merangkumi semua perkhidmatan di Pusat Kesihatan berkenaan.
Pihak JCI serta Kementerian Kesihatan akan terus memantau pematuhan ke atas piawaian tersebut secara berterusan di sepanjang 3 tahun kitaran akreditasi.
Akreditasi JCI ini adalah bertepatan dan mendokong sepenuhnya keutamaan strategik Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan penduduk Negara Brunei Darussalam melalui penyampaian sistem penjagaan kesihatan yang komprehensif, berkualiti tinggi dan selamat.
Selain itu, akreditasi JCI ini juga mendokong nilai–nilai teras Kementerian Kesihatan iaitu mengutamakan pelanggan, dinamik melalui peningkatan kualiti secara berterusan, bersatu ke arah satu tujuan yang sama dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang.
Source:
@BRUDIRECT.COM
by BRUDIRECT.COM
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]