Home > Bahasa Melayu
Acara sempena WAAD Ke-10 pamer solidariti masyarakat
MENTERI Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman (tiga, kanan) bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.
April 3rd, 2017 | 07:49 AM | 812 views
BANDAR SERI BEGAWAN
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 2 April. - Lebih 700 peserta mengambil bahagian dalam acara berbasikal dan berjalan kaki anjuran SMARTER Brunei sempena Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia (WAAD) Ke-10.
Acara berbasikal dan berjalan kaki itu bermula di Pusat SMARTER EDGE, Kampung Mata-Mata dan berakhir di Pusat BACA SMARTER, Kampung Sungai Hanching, di sini.
Menyertai acara tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.
Terdahulu, Yang Di-Pertua SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman dalam ucapan alu-aluannya berkata, acara pada hari ini mempamerkan solidariti dan kerjasama erat bukan hanya dari tiga kementerian, tetapi juga daripada masyarakat.
Beliau turut mengongsikan bahawa autisme adalah isu di peringkat global, di mana individu yang didiagnosis autisme semakin meningkat dari 1 setiap 1,000 orang menjadi 1 setiap 68 orang.
Pelepasan para peserta berbasikal sejauh 100 kilometer (km) dan berjalan kaki sejauh 16 km disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Kesejahteraan orang Kelainan Upaya (MKOUK), Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bin Haji Abdul Wahab.
Juga menyertai acara berjalan kaki ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yang Jian.
Selepas acara larian tersebut, Yang Berhormat Menteri Pendidikan kemudian menerima kad sumbangan daripada syarikat-syarikat, kedutaan-kedutaan dan kementerian-kementerian kepada SMARTER Brunei.
Sementara itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyerahkan tabung sumbangan SMARTER ke Jollibee Brunei yang akan diletakkan di kesemua 14 cawangan Jollibee di negara ini dan seterusnya melancarkan Program Fitness Zone, iaitu 'Fit4Life'.
WAAD disambut pada 2 April setiap tahun dan tema pada tahun ini 'Autism is not a Choice, Acceptance is'.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]