Home > Bahasa Melayu
Makmurkan masjid, beristiqamah mendirikan Sembahyang Subuh
HADIR bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program Masjidku Makmur, Negara Berkat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
August 14th, 2017 | 10:07 AM | 801 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Masjid adalah rumah Allah, dan sesungguhnya menghadirkan diri beribadah ke masjid serta mendirikan sembahyang secara berjemaah itu mempunyai kelebihan darjat berbanding sembahyang secara perseorangan, lebih-lebih lagi solat subuh berjemaah di masjid.
Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' di Masjid Omar 'Ali Saifuddien kelolaan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Da'wah Islamiah dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam dengan kerjasama Masjid Omar 'Ali Saifuddien merupakan satu program mingguan dan ajakan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu di masjid.
'Masjidku Makmur, Negara Berkat' turut memberikan peluang kepada para pengunjung memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan melalui partisipasi menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.
Program kali ini diserikan dengan tazkirah bertajuk 'ADA KU KISAH?' oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Ustaz Asminan bin Haji Chuchu (KHEU).
Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud dan Datin; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof serta Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Harun bin Haji Junid dan Awang Roslan bin Haji Taja'ah.
Turut sama menyerikan program ini ialah Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei, Unit Perundangan Islam, Urus Setia Program Pengupayaan Asnaf Zakat dan Bahagian Teknologi Maklumat, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Kehadiran memakmurkan rumah Allah diharapkan akan dapat menghidupkan amalan sunnah Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan dapat menimbulkan rasa kekeluargaan dan persamaan di antara umat Islam dalam melaksanakan sembahyang berjemaah dan amal ibadat bersama-sama.
Makmurnya masjid-masjid di negara ini, adalah antara landasan kita bagi menggandakan amal kebajikan dan meraih keberkatan dari Allah Subhanahu Wata'ala bagi diri kita, keluarga dan juga negara.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]