Home > Bahasa Melayu
Ambil peranan aktif dalam rancangan Sambutan Jubli Emas
Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohd Sahrizal Haji Said
August 16th, 2017 | 10:13 AM | 1570 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dihasrat akan dapat menggerakkan anak buah kampung dan mukim untuk mengambil peranan aktif dalam rancangan-rancangan yang akan diungkayahkan semasa sambutan kenegaraan nanti iaitu Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menyatakan perkara tersebut semasa berucap pada Sesi Muzakarah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung Daerah Brunei dan Muara (DBM) bagi Zon 1 dan Zon 3 yang berlangsung di Jabatan DBM, Berakas.
Menurut Yang Berhormat, inilah masa yang sangat relevan dan signifikan bagi seluruh rakyat dan penduduk di negara ini untuk menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
"Adalah wajar bagi kita, rakyat dan penduduk di negara ini bersyukur yang dalam tempoh pemerintahan baginda selama 50 tahun telah dapat membawa negara ini berkembang maju dalam pelbagai bidang dengan rakyat dan penduduknya berada dalam keamanan, ketenteraman, keselamatan dan dengannya membolehkan kita menikmati kemakmuran dan kesejahteraan yang berpanjangan," ujarnya.
Selaku rakyat dan penduduk negara ini katanya, apakah yang dapat kita sembahkan sebagai pesambah atau hadiah kepada seorang raja yang sangat prihatin kepada kesejahteraan hidup rakyat dan penduduknya dan mengurniakan berbagai-bagai kemudahan yang dapat menjamin taraf hidup yang baik untuk semua.
Menurut Yang Berhormat lagi, tidak ada selain doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga baginda dilanjutkan usia, sihat walafiat dengan terus dikurniakan taufik dan hidayah Allah Subhanahu Wata'ala agar kekal karar memerintah negara ini turun-temurun.
Tambahnya, paling minima ialah mengibarkan bendera negara di rumah-rumah kediaman masing-masing apabila diperlukan nanti dan menghadirkan diri dan menyertai acara perbarisan bagi mengalu-alukan perarakan baginda mengelilingi Bandar Seri Begawan pada hari Khamis, 5 Oktober 2017.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]