Home > Bahasa Melayu
Skuad Bola Jaring masih ada harapan
Oleh : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Azmah Haji Ahad
August 16th, 2017 | 10:19 AM |
2229 views
KUALA LUMPUR
Skuad bola jaring negara gagal mengekang kelebihan pasukan Malaysia setelah anak buah Thiaka Jinadasa akur kecundang 64 - 27 pada siri perlawanan Sukan SEA yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, di sini.
Berangkat menyaksikan perlawanan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Juga berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah selaku Pengurus Pasukan Bola Jaring Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA Ke-29, Yang Amat Mulia Pengiran Muda 'Abdul 'Aleem dan Faiq Jefri Bolkiah.
Suku masa pertama dan kedua menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan, namun penjaring gol (goal shooter), Norashikin bin Kamal Zaman ternyata lebih berkesan semasa perlawanan sehingga pasukan Malaysia berjaya mendahului jaringan 18 - 9 dan 11 - 7.
Manakala pada suku ketiga dan terakhir, pasukan Malaysia beraksi dengan lebih cemerlang apabila membelasah skuad negara 18 - 5 dan 17 - 7.
Ketika ditemui Pelita Brunei, Jurulatih Bola Jaring Negara Brunei Darussalam ke Sukan SEA, Thiaka Jinadasa menjelaskan, kedua-dua perlawanan pertama skuad bola jaring negara menentang Singapura dan Malaysia sememangnya merupakan di antara pasukan yang kuat.
Namun begitu beliau sangat berbangga dengan kebolehan anak didiknya yang menunjukkan permainan yang baik walaupun tumpas di tangan Singapura dan Malaysia.
Beliau seterusnya menjelaskan skuadnya masih lagi mempunyai peluang untuk mara ke pusingan kalah mati dan berharap skuad negara akan terus fokus untuk perlawanan yang seterusnya.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]