Home > Bahasa Melayu
Pengembaraan Galakkan Aktiviti Pelancongan ASEAN Timur
MENTERI Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong semasa hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong. Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
August 28th, 2017 | 09:56 AM |
739 views
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 27 Ogos. -
Pengembaraan selama 15 hari Trans Borneo Edisi 2017 dengan tema ‘Into the Heart of Borneo’ berakhir dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong.
Trans Borneo Edisi 2017 tersebut yang berkonsepkan budaya, sejarah, pengembaraan, pertanian dan alam semula jadi sebagai sebahagian objektif pengembaraan Trans Borneo yang disertai oleh negara-negara di Kepulauan Borneo, iaitu Sabah, Sarawak yang mewakili Malaysia, Kalimantan Indonesia serta Negara Brunei Darussalam dengan menggunakan Pacuan 4 Roda selama 15 hari.
Sebanyak 20 buah Pacuan 4 Roda terlibat daripada tiga buah negara yang disertai kira-kira 63 peserta.
Laluan ekspedisi berkenaan telah melalui kira-kira 2,000 kilometer ‘on road’ dan ‘off road’.
Ekspedisi berkenaan bermula di Kota Kinabalu dan bergerak ke Kundasang dan melalui kawasan-kawasan seperti Sepilok, Sukau, Balung, Simanggaris, Tanjung Selor, Derawan, Malinau, Ba’kelalan, Mararap Hot Spring dan berakhir di Bandar Seri Bengawan.
Sepanjang pengembaraan berkenaan, para peserta juga mengadakan program-program lawatan dan juga menjalankan Projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Ba’kelalan serta mengukuhkan hubungan bersama para penduduk dari setiap negara yang dilawati.
Objektif pengembaraan ini adalah meningkatkan pelancongan di Kepulauan Borneo terutamanya di Indonesia dan melalui kembara ini juga dihasrat dapat menggalakkan aktiviti pelancongan di Kalimantan Timur. Selain itu, ia juga bermatlamat untuk mengukuhkan hubungan antara ketiga-tiga negara terlibat terutama Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA).
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta Trans Borneo Edisi 2017.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Timbalan Suruhanjaya Republik Indonesia, Pengerusi Bersama Pacuan 4 Roda, Awang Haji Anuar bin Ghani, Pengiran Haji Mohiddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar dan Ahli-ahli Pacuan 4 Roda.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]