Home > Bahasa Melayu
Berangkat tiba di Nanning bagi hadiri CAEXPO dan CABIS
Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Haji Ariffin Mohd Noor / Morshidi, Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali
September 11th, 2017 | 09:54 AM | 953 views
NANNING,CHINA.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat tiba di Nanning bagi menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) dan Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-China (CABIS) Ke-14 yang akan berlangsung pada 12 September 2017.
Berangkat mengiringi Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen. Keberangkatan tiba Kebawah DYMM di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanning Wuxu dijunjung oleh Naib Gabenor Pertama Wilayah Otonomi Guangxi Zhuang, Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Lan Tianli dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yang Jian.
Turut sama menjunjung keberangkatan tiba Kebawah DYMM ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng; Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (Bersara) Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah DYMM disembahkan dengan sejambak bunga, diikuti dengan persembahan nyanyian dan tarian budaya daripada para penuntut tempatan.
Kebawah DYMM kemudiannya dijunjung menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel terkemuka di Nanning, tempat persemayaman di sepanjang keberangkatan. Negara Brunei Darussalam adalah Negara Kehormat bagi Ekspo CAEXPO Ke-14, dan akan mengambil bahagian dalam dua buah pavilion, iaitu Pavilion Komoditi dan Pavilion City of Charm.
Negara Brunei Darussalam juga akan menjadi hos bersama bagi satu Dialog Roundtable di Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-China (CABIS) Ke-14 pada 12 September 2017.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]