Home > Bahasa Melayu
Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga
Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi, Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Masri Osman, Hamzah Mohidin, Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali, Azmah Haji Ahad
October 4th, 2017 | 09:56 AM | 932 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Perayaan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta bermula sejurus berlangsungnya Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga yang berlangsung di Lapau, ibu negara.
Berangkat ke Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Keberangkatan DYTM dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.
Juga berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Sejurus disembahkan ke hadapan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Istiadat Gendang Jaga-Jaga didahului oleh Juru Laki Haji Johan Areffen menjunjung anugeraha berjalan menuju ke Pataratna dan seterusnya mengangkat dan mengusung Nakara di atas kepalanya.
Setelah berada di tempat yang dikhaskan, Nakara mula dititir diikuti dengan gualan Gendang Labek, tiupan Serunai, Agong dan Chanang dengan diiringi 21 das tembakan meriam.
Tembakan meriam dilakukan oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei diketuai oleh Pegawai Pemerintah Polis Tentera ABDB, 553 Leftenan Kolonel Mardini bin Abdul Rahman.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Selesainya istiadat berkenaan, maka Istiadat Berjaga-Jaga akan dilangsungkan di Istana Nurul Iman mulai malam ini sehingga 7 Oktober nanti.
Acara Sambutan Jubli Emas seterusnya disemarakkan dengan Majlis Kesyukuran, Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Al-Waqia'ah, Surah Al-Mulk, Tahlil dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta yang akan berlangsung pada 4 Oktober 2017 di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]