Home > Breaking News
TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
March 7th, 2018 | 09:04 AM | 2596 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izin-Nya kita berkumpul di Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi bagi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Keempat Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini.
Beta berharap majlis akan dapat bersidang dengan ahli-ahli semua dapat mengemukakan buah fikiran serta seterusnya mencadangkan perkara-perkara yang dapat membawa perubahan-perubahan besar kepada negara.
Di mana-mana sahaja terdapat kecenderungan orang bercakap mengenai ekonomi. Maka kita pun demikian juga sangat mengambil berat bidang ekonomi itu.
Sebagai sebuah negara yang masih bergantung kepada hasil minyak dan gas, Negara Brunei Darussalam perlu terus aktif mempelbagaikan ekonominya. Ini adalah wajar, berdasarkan harga minyak dunia sering sahaja dilihat tidak menentu.
Walaupun permintaan global meningkat dan harga minyak mulai pulih pada kadar yang menggalakkan, namun pertumbuhan ekonomi tetap sahaja diramal masih berada pada paras yang rendah.
Lalu kerana itu, kita tetap perlu untuk terus mengawal imbangan fiskal negara dalam jangka masa pendek dan panjang.
Tetapi ini sahaja tidak memadai. Langkah berjimat memang baik dan terpuji, tetapi semata-mata berjimat tanpa ada usaha ke arah pertumbuhan adalah salah satu sikap yang tidak diterima. Di samping berjimat, kita juga mesti menggembleng tenaga bagi pertumbuhan secara besar-besaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Brunei perlu meneroka bidang yang tidak dapat diabaikan lagi. Pastikan ianya ditangani dengan berkesan sehingga berhasil. Beta sudah pun menyebut berkali-kali bidang pertanian. Bidang ini sangatlah mendesak untuk digerakkan. Bukan bergerak ikut mood, tetapi bergerak demi keperluan. Negara adalah sangat-sangat memerlukan.
Sudah sampai masanya untuk Brunei berdikari dalam pemakanannya, khasnya berdaya upaya untuk menyara diri sendiri dengan makanan asasi iaitu beras. Usahakan ia sampai berhasil.
Berbalik lagi mengenai sumber minyak dan gas. Tidaklah cukup setakat berbangga mempunyai sumber ini. Tetapi yang penting ialah pengurusannya. Cara kita menguruskannya.
Pengurusan adalah segala-galanya. Penemuan sumber minyak di negara ini telah pun mencecah umur hampir satu abad. Dalam usianya yang sepanjang itu, orang-orang Brunei sepatutnya sudah lebih matang dalam pengurusan. Tetapi malang, kenyataannya masih tidak sampai ke tahap itu, bahkan masih terlalu jauh daripada apa yang diharapkan.
Adapun untuk mendapatkan khidmat konsultan atau pekerja luar adalah sesuatu yang biasa diamalkan. Tetapi ini, bukanlah bererti untuk selama-lamanya. Sedang konsep belajar dan menimba pengalaman tetap terbuka kepada anak-anak tempatan, tetapi ia lambat untuk berhasil, sehingga setakat untuk menduduki jawatan pengarah Urusan pun kita susah apatah lagi jawatan-jawatan yang lebih tinggi.
Beta mahu supaya perkara ini dikaji. Beta kurang yakin anak-anak tempatan kita tidak mempunyai kebolehan langsung, berdasarkan kalau orang lain boleh mengapa kita tidak boleh? Dan kalau orang lain boleh mendapat ilmu dan pengalaman mengapa kita tidak?
Beta ragu selama ini kita mungkin sahaja salah pasang 'skru' makanya kita mesti mencari apa yang salah itu dan membetulkannya.
Pembangunan tidak akan berjalan lancar sekiranya peraturan dan undang-undang tidak dilaksanakan dengan sempurna. Kerana itu langkah menguatkuasakan peraturan dan undang-undang amatlah perlu.
Adalah tidak wajar untuk selalu-selalu ketirisan dalam melaksanakan sebarang undang-undang atau peraturan.
Dalam Sidang Kabinet baru-baru ini, Beta ada menyebut mengenai pembersihan Brunei daripada sampah dan kotoran. Beta diberitahu, bahawa akta mengenainya sudah pun sedia ada dengan peruntukkan denda tertentu. Mana-mana orang atau syarikat didapati membuang sampah di tempat awam boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi lima ratus ringgit. Kerana itulah ada orang yang didenda cuma seratus atau dua ratus ringgit sahaja.
Kita masih belum pasti tentang kesempurnaan perlaksanaan akta ini, selain juga masih meragui, adakah denda sebanyak seratus atau dua ratus itu mampu untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat, khasnya kepada para pesalah yang berkenaan?
Begitu juga seperti Akta Rokok dan lain-lain, adakah ia sudah benar-benar dikuatkuasakan atau masih saja berlaku ketirisan mengenainya? Semua ini memerlukan perhatian dan kajian oleh pihak-pihak yang berkaitan.
Kita tidak mahu orang mempersendakan akta kerana kelemahan kita. Ada akta sahaja belum memadai tanpa ianya didaulatkan melalui perlaksanaan. Perlaksanaanlah 'harga' bagi sesuatu akta itu.
Beta ingin melihat, di dalam Dewan yang mulia ini, semua ahli akan terlibat memberikan pendapat atau pandangan tanpa takut-takut atau ragu-ragu demi kebaikan bersama dan negara.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Source:
@BRUDIRECT.COM
by Brudirect.com
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]