Home > Bahasa Melayu
Empat Suspek Ditahan Terlibat Kes Curi
SEBUAH kereta berdaftar BH 696 jenis BMW 318i telah ditukar warna hitam dari sudut belakang.
June 25th, 2018 | 08:15 AM | 905 views
TUTONG
Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kelmarin berhasil menjalankan serbuan kes curi kereta ke atas sebuah rumah sewa di alamat No.83 Ban 4, Kampung Mulaut Sengkurong, di sini.
Bertindak atas maklumat yang dikongsikan oleh orang ramai terhadap kes pecah rumah, beberapa anggota polis yang diketuai oleh Pemangku Pegawai Penyelia Detektif Daerah Polis Tutong, S/Sgt 3182 Muhammad Epindi Abdullah Anto telah membuat serbuan ke rumah berkenaan dan telah berhasil menahan dua suspek.
Hasil dari penahanan tersebut, didapati suspek berkenaan juga terlibat dengan kes curi kereta dan barang, di samping berjaya menahan dua suspek lain.
Seramai empat suspek ditahan yang melibatkan warga tempatan dan penduduk tetap berumur di antara 20 ke 35 tahun.
Pihak Polis juga menjumpai satu telefon bimbit, satu beg pakaian bagasi, satu set wayar 'welding', 9 roll wayar elektrik, satu set karaoke, dua biji drill, satu set 'tool', satu peti televisyen dan dua buah tong gas yang juga dipercayai hasil barang curi.
Kesemua suspek dan barang-barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tutong bagi siasatan lanjut.
Mahkamah Majistret telah mereman keempat-empat suspek selama tiga hari bagi melengkapkan siasatan dan kes akan disebut kembali pada 26 Jun 2018.
Sehubungan itu, PPDB mengalu-alukan sokongan masyarakat awam dalam membantu pihak polis membasmi kegiatan jenayah dengan menyalurkan maklumat secepat mungkin bagi membolehkan tindakan dibuat sewajarnya.
Oleh yang demikian, orang ramai yang mengetahui atau mempunyai sebarang maklumat jenayah atau aktiviti yang melanggar undang-undang disaran agar melapor ke balai polis yang berdekatan atau menghubungi terus talian hotline 993.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]