Home > Bahasa Melayu
Prestasi Kewangan KOTIBA Meningkat
PENGERUSI Lembaga Pengarah Stesen Minyak Koperasi Persatuan TIBA (KOTIBA) Sesi 2017 - 2018, Awang Haji Rosdi Amin bin Dato Paduka Haji Yaakub semasa mempengerusikan Mesyuarat Agong Ke-34 Stesen Minyak Koperasi Persatuan TIBA dengan Tanggungan Berhad.
August 27th, 2018 | 08:52 AM | 400 views
KAMPUNG SALAMBIGAR
Pengerusi Lembaga Pengarah Stesen Minyak Koperasi Persatuan TIBA (KOTIBA) Sesi 2017 - 2018, Awang Haji Rosdi Amin bin Dato Paduka Haji Yaakub berkata, KOTIBA telah meneruskan kecemerlangan prestasinya pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2017.
Katanya, ia terbukti dengan peningkatan jualan sebanyak empat peratus kepada BND10.1 juta (BND10,136,770) dibandingkan dengan BND9.7 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
''Ini adalah pencapaian yang sangat baik memandangkan kita terpaksa menutup enam pam selama kira-kira empat bulan, bagi membolehkan kerja-kerja pemeliharaan dan pembersihan tangki-tangki dijalankan,'' ujarnya pada Mesyuarat Agong Ke-34 Stesen Minyak KOTIBA dengan Tanggungan Berhad, di Dewan Serbaguna, Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Kampung Salambigar, di sini.
Walau bagaimanapun jelasnya, untung bersih turun 41 peratus jika dibandingkan dengan tahun 2016 dari BND361 ribu (BND361,243) kepada BND212 ribu (BND212,163).
Menurutnya, ianya disebabkan oleh dua perkara utama iaitu pertama, perbelanjaan gaji, bayaran lebih masa, elaun, TAP dan SCP meningkat BND50 ribu atau 31 peratus dari tahun kewangan 2016.
Beliau menambah, kedua ialah perbelanjaan susut nilai meningkat BND71 ribu, disebabkan oleh pembetulan klasifikasi dan perkiraan semula susut nilai secara kebelakangan kira-kira 10 tahun bagi dua lot tanah di Kampung Serasa, seperti yang dikehendaki oleh Piawaian Perakaunan.
Mesyuarat kali ini antara lain membentangkan Laporan Tahunan Lembaga Pengarah KOTIBA Sesi 2017 - 2018, membentangkan kunci kira-kira bagi Tahun Kewangan Jun 2017, mengesahkan dan mengisytiharkan Pembahagian Dividen (Keuntungan) Bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2017.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]