Home > Bahasa Melayu
Sukarelawan JAPEM Pelajari Bahasa Isyarat
PEGAWAI daripada Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan mengendalikan Kursus Bahasa Isyarat kepada sukarelawan JAPEM.
August 27th, 2018 | 08:59 AM | 441 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Seramai 32 peserta terdiri daripada sukarelawan berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), menyertai Kursus Singkat Bahasa Isyarat yang berlangsung di Dewan Imtiyaz, Pusat Bahagia, Kampung Pulaie, di sini.
Para peserta diajarkan penggunaan bentuk tangan (hand shapes) untuk mengeja huruf dan nombor, tatacara memberikan ucapan salam dan pertanyaan dalam bahasa isyarat.
Selain itu peserta juga diberikan kesempatan untuk belajar dan menghalusi bahasa isyarat yang betul, melalui beberapa aktiviti seperti memperkenalkan diri, belajar menggunakan kata kerja, ekspresi perasaan dan sebagainya.
Kursus dikendalikan oleh dua pemudahcara daripada Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Dayang Widiafalena binti Haji Surham dan Dayang Hajah Mariani binti Abdullah.
Antara tujuan kursus ialah untuk memberikan pendedahan kepada para sukarelawan mengenai isu pendengaran, serta penggunaan dan kepentingan bahasa isyarat bagi berkomunikasi dengan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Kursus anjuran Unit Sukarelawan, JAPEM dengan kerjasama Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan itu diharap akan dapat memperkasa para sukarelawan JAPEM untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan OKU yang mempunyai masalah pendengaran dalam aktiviti dan kegiatan yang diungkayahkan dengan lebih efektif.
Di akhir kursus, para peserta menerima sijil penyertaan masing-masing yang disampaikan oleh Penolong Pengarah JAPEM, Haji Khairul Ariffin bin Haji Abdul Aji.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]