Home > Bahasa Melayu
Pelajar STPRI Juara Pertandingan Melukis
TETAMU kehormat, Pemangku Pengarah Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Haji Zulkifli bin Haji Muhammad Yusuf menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan, Ainne Cabahug Sarsora, pelajar dari STPRI.
September 6th, 2018 | 10:23 AM | 591 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Pelajar dari Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), Ainne Cabahug Sarsora diumumkan sebagai juara Pertandingan Melukis Bertemakan ASEAN bagi Pelajar-Pelajar Tahun 9 Sekolah-Sekolah Menengah Kerajaan Senegara.
Tempat kedua diraih oleh Dayang Norhidayati Elya Maisarah binti Haji Yunos dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan diikuti di tempat ketiga oleh Leong Huie Ling dari Sekolah Menengah Sayyidina Ali.
Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan tersebut diadakan petang ini di Dewan Utama, Bangunan Baru Kementerian Pendidikan, Jalan Lapangan Terbang Lama Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah ialah Pemangku Pengarah Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Haji Zulkifli bin Haji Muhammad Yusuf.
Terdahulu, Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Dayang Hajah Badriah binti Haji Saidin dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, dengan adanya penganjuran pertandingan melukis ini diharap akan dapat menarik minat dan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai identiti negara-negara ASEAN dari pelbagai aspek seperti profil, sejarah, kebudayaan dan kesenian dan sebagainya di samping memupuk bakat dan kreativiti pelajar, sejajar dengan proses pembelajaran dan membina kemahiran abad ke-21.
Pertandingan ini adalah antara aktiviti dalam Projek Promoting Intercultural Dialogue and A Culture of Peace in Southeast Asia through Shared Histories yang dianjurkan oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisations (UNESCO).
Pertandingan antara lain bertujuan untuk membina dan mempromosikan bahan-bahan pendidikan inovatif mengenai sejarah Asia Tenggara.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]