Home > Bahasa Melayu
Bengkel Kepanduan Realisasi Tugas, Tanggungjawab Pemimpin PPPBD
ANTARA yang hadir di bengkel tersebut.
September 7th, 2018 | 11:41 AM | 296 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Bengkel Kepanduan Sempena Sambutan Hari Kedamaian Sedunia Tahun 2018 adalah sebagai platform merealisasikan tugas dan tanggungjawab Pemimpin (Guru Pengawas) kepada unit pasukan/pek masing-masing sesuai dengan visi dan misi Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD).
Lebih 30 orang pemimpin dewasa dan pemimpin muda termasuk ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir PPPBD menyertai bengkel tersebut yang antara pengisiannya adalah meneliti dan membentangkan skim pelajaran pemimpin dewasa dan pemimpin muda serta kongsisama laporan penyertaan kegiatan antarabangsa 2017 - 2018 yang disampaikan oleh fasilitator terdiri dari ahli-ahli PPPBD.
Bengkel tersebut turut mendedahkan ahli-ahli persatuan terutamanya peringkat pemimpin-pemimpin dewasa dan pemimpin-pemimpin muda pada perkembangan-perkembangan serta pembaharuan dalam gerakan kepanduan untuk meningkatkan potensi masing-masing serta membentuk pembelajaran dan pengajaran yang lebih efektif dan produktif.
Manakala bagi pemimpin yang telah lama dalam persatuan, dengan menghadiri bengkel tersebut diharapkan dapat memberi nafas baru atau suntikan semangat untuk terus bergiat aktif dengan lebih padu dan mantap untuk memperjuangkan hak kanak-kanak perempuan dan wanita muda dalam pendidikan tidak formal.
Bengkel selama sehari itu merupakan anjuran PPPBD dengan kerjasama Unit Beruniform dan Perkhidmatan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Ko-Kurikulum, Kementerian Pendidikan dan ianya merupakan salah satu dari kegiatan tahunan persatuan.
Sementara itu, PPPBD juga mengadakan Majlis Doa Kesyukuran dan Solat Fardu Asar Berjemaah sempena Majis Sambutan Hari Kedamaian Sedunia Tahun 2018.
Majlis diadakan sebagai tanda kesyukuran atas limpah kurnia kemakmuran dan keamanan yang telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada Negara Brunei Darussalam, di samping merangsang perkembangan dan pembangunan ahli-ahli persatuan melalui kongsi sama, bengkel dan aktiviti yang bermanfaat yang diperoleh dari pengalaman-pengalaman di dalam dan luar negeri.
World Peace Day disambut pada setiap tanggal 21 September dan tema Sambutan Hari Kedamaian Sedunia pada tahun ini ialah 'The Right to Peace - The Universal Declaration of Human Rights at 70'.
Pemilihan tema itu adalah untuk meraikan 70 tahun deklarasi universal hak asasi manusia.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]