Home > Bahasa Melayu
UNISSA - DIKTILITBANG Tingkatkan Kerjasama Pendidikan Islam
PENANDATANGANAN Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UNISSA dengan Majelis Pendidikan Tinggi Penelitian dan Pengembangan (DIKTILITBANG), Pimpinan Pusat Muhammadiyah, Indonesia termasuk dengan 30 buah Institusi Pengajian Tinggi.
October 23rd, 2018 | 07:55 AM | 295 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menempa sejarah dengan termeterainya penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majelis Pendidikan Tinggi Penelitian dan Pengembangan (DIKTILITBANG), Pimpinan Pusat Muhammadiyah, Republik Indonesia.
Majlis diselajurkan dengan penandatanganan MoU bersama 30 buah Institusi Pengajian Tinggi di bawahnya dan dengan termeterainya penandatanganan ini, UNISSA kini telah memeterai penandatanganan MoU dengan 48 buah Institusi Pengajian Tinggi Indonesia.
Menandatangani bagi pihak UNISSA ialah Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, manakala bagi Majelis DIKTILITBANG, Indonesia pula ditandatangani oleh Ketua Majelis berkenaan, Yang Terhormat Bapak Prof H. Licolin Arsyad, M.Sc Phd selaku Ketua Rombongan.
Majlis berlangsung di Bilik Bankuet, UNISSA.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan Rektor UNISSA yang amat menghargai kunjungan rombongan seramai 38 orang terdiri daripada Rektor-rektor, Timbalan Rektor dan pegawai-pegawai utama institusi yang terlibat.
Menurutnya, kehadiran para rektor dan pemimpin universiti di bawah pimpinan Pusat Muhammadiyah serta penandatanganan MoU dengan jumlah yang ramai telah membuka lembaran sejarah UNISSA dan ini membuktikan bahawa UNISSA semakin diminati oleh institusi pengajian tinggi di rantau Asia.
''UNISSA akan terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada universiti di rantau Asia atau antarabangsa yang ingin menjalinkan kerjasama strategik melalui program-program pertukaran pelajar, lawatan dan pengabdian kepada masyarakat,'' tambahnya.
Pada sesi tahun ini, seramai 40 orang warga Indonesia sedang mengikuti pengajian di UNISSA, termasuk pelajar Indonesia yang mengambil Program Ijazah Doktor Falsafah dan Sarjana.
Sementara dalam ucapan balas, Yang Terhormat Bapak Prof H. Licolin Arsyad, M.Sc Phd menjelaskan kunjungan ke UNISSA adalah dalam rangka untuk bekerjasama dalam mengadakan seminar atau persidangan dan penyelidikan bersama.
Kerjasama tersebut, ujarnya, meliputi pengelolaan di peringkat antarabangsa memandangkan UNISSA memiliki jumlah mahasiswa dan tenaga akademik antarabangsa yang ramai, di mana tugas dan kewajiban para pemimpin dari 30 buah institusi pengajian tinggi, Pimpinan Pusat Muhammadiyah ini dapat merealisasikan aktiviti-aktiviti akademik sebagai kesinambungan dari penandatanganan (MoU) dengan UNISSA.
Hadir menyaksikan penandatanganan tersebut, Pemangku Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Arman bin Haji Asmad dan pegawai-pegawai utama UNISSA.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PelitaBrunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]