Home > Bahasa Melayu
Kejohanan Rentas Desa ABDB
PEMERINTAH ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang Kejohanan Rentas Desa ABDB
October 27th, 2018 | 08:21 AM | 439 views
JERUDONG
Lebih 200 peserta yang terdiri daripada Anggota-anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Institut Latihan (IL) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dan Rejimen Pasukan Khas (RPK) menyertai Kejohanan Rentas Desa anjuran ABDB yang diadakan pada Khamis, 25 Oktober lalu di Hutan Simpanan Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud. Turut hadir ialah Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, Komandan IL ABDB, pengarah-pengarah tentera dan Anggota ABDB.
Kejohanan Rentas Desa itu mempertandingkan Acara Terbuka mengikut Kategori Umur dan Acara Berkumpulan, yang mana menguji ketahanan setiap peserta seperti mengharungi kawasan pantai, jalan raya dan bukit-bukau di kawasan Taman Rekreasi Hutan Simpanan Berakas.
Pemerintah ABDB juga turut menyertai acara 3km bersama Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, Komandan IL ABDB, serta pengarah-pengarah tentera.
Juara bagi Kategori Kumpulan dimenangi oleh RPK, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh TDDB dan KEMENTAH.
Kejohanan Rentas Desa ABDB adalah acara sukan tahunan bertujuan untuk menggalakkan semangat kesukanan di antara unit ABDB serta untuk memupuk gaya hidup sihat dalam ABDB.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PelitaBrunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]