Home > Bahasa Melayu
Muzium Alat Kebesaran Diraja Tarik Perhatian DYTM Puteri Maha Chakri
DULI Yang Teramat Mulia Puteri Maha Chakri Sirindhorn berkenan bergambar kenangan bersama Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dan pegawai dan kakitangan Muzium Alat Kebesaran Diraja.
November 1st, 2018 | 10:32 AM | 395 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Puteri Diraja Thailand, Duli Yang Teramat Mulia Puteri Maha Chakri Sirindhorn dan rombongan hari ini berangkat mengadakan lawatan ke Muzium Alat Kebesaran Diraja, di ibu negara.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dialu-alukan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dan Pemangku Pengarah Muzium-Muzium, Awang Haji Mohamad Jefri bin Haji Sabli.
Dalam lawatan tersebut, DYTM berkenan menyaksikan Galeri Perpuspaan 1968, Galeri Pameran Diraja dan Galeri Jubli Perak 1992, yang mana penerangan disembahkan oleh Pengurus Muzium Alat Kebesaran Diraja, Pengiran Norazah binti Pengiran Haji Muhammad.
DYTM juga menyaksikan koleksi gambar-gambar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama pembesar-pembesar negara termasuk Putera Mahkota Thailand, yang pada masa ini menjadi Raja Maha Vajiralongkorn.
Turut menarik perhatian DYTM adalah pesambah daripada negara Thailand kepada Kebawah DYMM yang dipamerkan di muzium berkenaan.
DYTM seterusnya berkenan melawat Pusat Sejarah Brunei (PSB) yang terletak berhampiran Muzium Alat Kebesaran Diraja.
Pada lawatan itu, DYTM mendengar sembah penerangan daripada Pemangku Timbalan Pengetua PSB, Awang Hanafi bin Haji Salleh.
Muzium Alat Kebesaran Diraja dibuka rasmi pada 30 September 1992 sempena Sambutan Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki takhta.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PelitaBrunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]