Home > Bahasa Melayu
Lawatan Ke Singapore University Of Technology And Design
DULI Yang Teramat Mulia semasa berkenan melawat ke Sharing on Student Life and Eco-Car di SUTD tersebut
November 1st, 2018 | 12:51 PM | 262 views
REPUBLIK SINGAPURA
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri hari ini berkenan berangkat membuat lawatan ke Singapore University of Technology and Design (SUTD).
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di kampus universiti itu dijunjung oleh Menteri Pendidikan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Ong Ye Kung dan Presiden SUTD, Profesor Chong Tow Chong.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudian dijunjung berangkat ke Perpustakaan SUTD untuk melihat pameran Materials Collection Gallery dan mendengar sembah taklimat mengenai universiti berkenaan.
Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan beramah mesra bersama sebahagian pelajar-pelajar dan pensyarah universiti berkenaan yang melihatkan projek mereka dan juga dengan seorang penuntut Negara Brunei Darussalam yang sedang mengikuti pengajian tahun akhir di universiti berkenaan iaitu Awang Mohd. Hamizan Haziq bin Munawir.
Seterusnya, DYTM dijunjung beredar menyaksikan pameran dan demonstrasi teknologi Drones, serta pameran mengenai Virtual Reality Helmet dan E-Payment Vending Machine di Entrepreneurship Incubation Centre.
DYTM seterusnya berkenan ke International Design Centre bagi menyaksikan pameran-pameran projek-projek dan prototaip yang telah dihasilkan oleh universiti berkenaan.
Selepas itu, DYTM meneruskan lawatan ke Fabrication Lab bagi menyaksikan projek-projek antaranya Water Jet Printing dan 3D Printing.
DYTM kemudian dijunjung bergambar ramai bersama TYT Menteri Pendidikan dan pegawai-pegawai kanan SUTD di Jackie Chan Pavillion.
Sebelum meninggalkan kampus universiti tersebut, DYTM telah berkenan menikmati santap ringan dan berkenan bertukar-tukar cenderamata.
SUTD ditubuhkan untuk memajukan ilmu pengetahuan bagi melatih pemimpin yang beraliran teknikal dan melahirkan generasi yang inovatif untuk memenuhi keperluan masyarakat. Matlamat utama SUTD adalah untuk menjadi sebuah universiti berteraskan penyelidikan antarabangsa yang terkemuka yang menumpukan unsur-unsur reka bentuk berasaskan teknologi.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PelitaBrunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]