Home > Bahasa Melayu
Media Sosial, Elakkan Terpengaruh Budaya Negatif
TAZKIRAH mengenai Kebaikan dan Keburukan Media Sosial disampaikan oleh Cikgu Awang Ashraff bin Haji Ibrahim.
November 2nd, 2018 | 08:12 AM | 362 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Matlamat yang ingin dicapai oleh pendidikan Islam ialah ingin melahirkan Al-Insannussaleh.
Pendidikan yang seimbang dan sempurna sentiasa memberi penekanan kedua-dua aspek, iaitu kurikulum dan gerak kerja kokurikulum.
Bagi tujuan tersebut Tema Program Keagamaan Senegara bagi bulan November ialah 'Kebaikan dan Keburukan Media Sosial' dan program berkenaan diadakan di Sekolah Ugama Sengkurong.
Program tersebut dimulakan dengan tazkirah berkaitan tema tersebut yang disampaikan oleh guru sekolah, Awang Ashraff bin Haji Ibrahim.
Beliau antara lain menjelaskan, di Negara Brunei Darussalam, penggunaan internet menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan, sekali gus merupakan satu perkembangan yang cukup positif dari segi celiknya rakyat mengenai IT.
Pada dasarnya, tujuan media sosial adalah untuk memudahkan sesuatu komunikasi. Sekiranya digunakan dengan niat yang betul, sudah tentu akan membawa manfaat dan kesejahteraan hidup. Jika sebaliknya, maka akan membawa perkara yang sia-sia dan merugikan.
Tambahnya, pengaruh media sosial dalam kehidupan masa kini tidak dapat dielakkan dan mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan pelajar-pelajar. Pihak tertentu perlulah mengambil tindakan untuk mengawal secara rapi penggunaan media sosial supaya pelajar tidak cenderung kepada masalah sosial.
Bagaimanapun katanya, di antara kebaikan media sosial ialah maklumat mudah didapati dan mudah berkongsi maklumat, komunikasi dapat berhubung dengan sesiapa tanpa mengira jarak masa dan tempat, perbankan.
Sementara keburukan media sosial ujarnya ialah maklumat tidak tepat seperti menyebarkan fitnah, keselamatan data maklumat mudah terdedah jika tidak berhati-hati, melalaikan jika tidak terkawal terutama kepada pelajar-pelajar dan mudah terdedah dengan budaya negatif.
Sejurus selepas tazkirah, program disusuli dengan membaca Surah Al-Waqiah; Membaca Doa Peperiksaan; dan Membaca Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PelitaBrunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]