Home > Breaking News
Hargai Hubungan Persaudaraan Brunei - Emiriah Arab Bersatu
December 2nd, 2018 | 07:09 AM | 407 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Presiden Emiriah Arab Bersatu dan Pemerintah Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, His Highness Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan dan kepada Naib Presiden, Perdana Menteri, Pemerintah Dubai dan Menteri Pertahanan Emiriah Arab Bersatu, His Highness Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum dan kepada ahli kerabat diraja serta kerajaan dan rakyat Emiriah Arab Bersatu sempena menyambut Hari Kebangsaan Emiriah Arab Bersatu.
Dalam titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada Presiden Emiriah Arab Bersatu dan Pemerintah Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, His Highness Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, baginda amat menghargai perhubungan dan persaudaraan yang rapat yang sekian lama terjalin dan berharap dapat mengukuhkan hubungan yang bernilai dan kerjasama yang sedia ada di tahun-tahun mendatang.
Sementara itu, dalam titah perutusan yang sama kepada Naib Presiden, Perdana Menteri, Pemerintah Dubai dan Menteri Pertahanan, Emiriah Arab Bersatu, His Highness Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, baginda menghargai perhubungan yang rapat dan persaudaraan muhibah yang telah sekian lama dinikmati oleh kedua-dua buah negara dan berharap dapat meneruskan kerja dengan His Highness dan berharap dapat mengukuhkan hubungan tersebut baik di peringkat dua hala atau dalam forum antarabangsa.
Baginda mengakhiri titah-titah perutusan baginda itu dengan berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan kepada Presiden Emiriah Arab Bersatu dan Pemerintah Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, His Highness Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan dan Naib Presiden, Perdana Menteri, Pemerintah Dubai dan Menteri Pertahanan, Emiriah Arab Bersatu, His Highness Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum dan kerabat diraja dengan kegembiraan, kesihatan serta rakyat Emiriah Arab Bersatu terus menikmati kemajuan dan kemakmuran yang berpanjangan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PelitaBrunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]