Home > Bahasa Melayu
Sepak Takraw - Brunei Kutip Pingat Perak, Gangsa
SETIAUSAHA Tetap Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar menyampaikan pingat perak kepada pasukan Brunei Darussalam 'B' bagi acara Regu Quadrant sukan Sepak Takraw.
December 10th, 2018 | 08:33 AM | 822 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Pasukan Brunei Darussalam 'B' terpaksa berpuas hati dengan mengutip pingat perak setelah berjuang sebanyak tiga set dalam acara Regu Quadrant Sepak Takraw Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA Ke-10 menentang pasukan Sabah.
Perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kementerian Pertahanan tersebut menyaksikan pasukan Sabah mendahului Brunei Darussalam 'B' pada set pertama dengan 21-13, sebelum diatasi oleh pasukan negara kita pada set kedua dengan 18-21, namun terpaksa akur dengan keputusan pada set ketiga yang berakhir dengan 21-11 bagi memberikan pingat emas kepada pasukan Sabah.
Pingat gangsa pula diraih bersama oleh pasukan Brunei Darussalam 'A' dan Sulawesi Selatan.
Sementara itu, bagi acara akhir Inter Regu, Sulawesi Selatan mengatasi pasukan Sabah dengan 2-0 bagi memperoleh pingat emas, manakala pemenang tempat ketiga, iaitu pingat gangsa bersama pula ialah Brunei Darussalam 'A' dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Hadir bagi menyampaikan pingat-pingat tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.
Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA Ke-10 yang dibuka rasmi pada 7 Disember lalu berakhir hari ini dengan penyertaan sebanyak 10 kontinjen daripada lima buah negara, iaitu Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Republik Indonesia, Republik Filipina dan Northern Territory, Australia.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PelitaBrunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]