Home > Bahasa Melayu
Bandarku Ceria Terus Meriah
BANDARKU Ceria terus meriah terutama pada musim cuti persekolahan ini
December 24th, 2018 | 07:10 AM |
264 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Musim cuti persekolahan merupakan saat yang dinantikan oleh anak-anak dan ia juga merupakan tanggungjawab dan peranan ibu bapa dalam mengisi masa lapang anak-anak mereka dengan kegiatan yang bermanfaat ke arah meningkatkan pengetahuan, kemahiran dalam pelbagai bidang termasuk mengisikan masa mereka dengan aktiviti-aktiviti riadah.
Musim cuti persekolahan penggal keempat tahun 2018 yang akan berakhir tidak lama lagi terus dimanfaatkan oleh ibu bapa dan penjaga membawa anak masing-masing menikmati pelbagai aktiviti, termasuk Bandarku Ceria yang diadakan setiap Ahad yang terus mendapat sambutan daripada orang ramai.
Tinjauan Pelita Brunei ke Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien dan kawasan sekitarnya menyaksikan pelbagai aktiviti riadah dilakukan oleh para pengunjung bagi sama-sama menyokong Program Bandarku Ceria, di samping para peniaga menambahkan lagi sumber ekonomi mereka.
Pelbagai kegiatan diadakan oleh agensi-agensi kerajaan bagi menyahut inisiatif berkenaan untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan, membuka peluang kepada peniaga kecil-kecilan (PKS), mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan menggalakkan cara hidup sihat.
Bermula dari pukul 6.00 pagi hingga 10.00 pagi, beberapa batang jalan raya di kawasan bandar telah ditutup untuk memberikan laluan jalan-jalan berkenaan digunakan oleh para pejalan kaki dan mereka yang ingin berbasikal, di samping kegiatan riadah sihat yang lain oleh ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan.
Bandar Seri Begawan dihasratkan menjadi sebuah bandar dalam taman (garden city) dan mempunyai alam sekitar yang bersih, cantik dan bebas daripada pencemaran.
Oleh itu, bagi mencapai visi program tersebut, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui beberapa kementerian dan agensi-agensi serta pihak yang berkepentingan telah mengambil inisiatif hari tanpa kereta pada setiap Ahad.
Program tersebut sehingga kini terus mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak terutama para penjaja yang terus berusaha menambahkan pendapatan serta orang ramai yang ingin mengisi masa lapang mereka dengan melakukan aktiviti riadah hujung minggu lebih-lebih lagi bersama keluarga.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PelitaBrunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]