Home > Bahasa Melayu
Aplikasi Mushaf Brunei Darussalam Pelbagaikan Medium Dakwah
YANG Berhormat menyampaikan cenderamata kepada salah seorang penulis buku-buku tersebut yang juga merupakan mantan Menteri Hal Ehwal Ugama
December 30th, 2018 | 07:31 AM | 778 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Aplikasi Mushaf Brunei Darussalam dan terjemahannya adalah satu kemajuan dalam penerbitan Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya bagi tiga juz pertama yang diterbitkan hampir 10 tahun yang lalu (2009) dan kemudian disempurnakan selengkapnya 30 juz pada lima tahun kemudian (2014).
Susulan daripada penerbitan edisi lengkap 30 juz itu, ialah berupa digital dalam aplikasi mudah alih yang dirancang tiga tahun yang lalu dan dilaksanakan dalam beberapa fasa.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berkata demikian pada Majlis Pelancaran Aplikasi Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya (Fasa 1) dan Pelancaran Buku-Buku Terbitan Pusat Da'wah Islamiah (PDI) Tahun 1440H / 2018M.
Fasa pertama yang siap pada tahun 2018 itu, ujar Yang Berhormat, merupakan paparan Mushaf Brunei Darussalam sahaja, diikuti dengan paparan Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya sebagaimana dalam versi cetakannya yang telah diterbitkan dan paparan tutorial.
Tambah Yang Berhormat, dalam waktu terdekat akan diikuti lagi fasa kedua bagi aplikasi tersebut yang mana akan memuatkan suara pembaca atau qari anak negeri lengkap 30 Juz bagi paparan mushaf sepenuhnya.
Selepas fasa kedua ini, kata Yang Berhormat, dijangkakan Mushaf Brunei Darussalam versi digital yang telah lengkap dengan terjemahannya itu akan dikembangkan sebagai versi digital mushaf Al-Quran calak Brunei seperti versi-versi digital beberapa buah mushaf Al-Quran yang sedia ada dalam media sosial sekarang.
"Saya yakin PDI mampu memikul dan meneruskan misi ini serentak dengan membangun dan memajukan kemahiran tempatan bidang infoteknologi dan digital," tegas Yang Berhormat.
Mempelbagaikan medium dakwah melalui penyebaran yang berkesan merupakan salah satu strategi Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ke arah memperkasakan budaya dan amalan penghayatan beragama di Negara Brunei Darussalam.
Ke arah itu, PDI dengan kerjasama Bahagian Teknologi Maklumat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, KHEU telah mengungkayahkan projek Aplikasi Mushaf Brunei Darussalam.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PelitaBrunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]