Home > Bahasa Melayu
Taklimat Kenegaraan Tingkatkan Patriotisme Penuntut
PENGETUA Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Dayang Rozieana Binti Haji Zini menyampaikan hadiah Kuiz Kenegaraan kepada pemenang.
February 8th, 2019 | 06:56 AM | 362 views
TUTONG
Lebih 100 penuntut Tahun 7 Sekolah Menengah Sayyidina Othman berpeluang mendengarkan Taklimat Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang berlangsung Dewan Serbaguna sekolah berkenaan, di sini.
Taklimat disampaikan oleh Ketua Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Awang Hasanul Hidayat bin Haji Abu Bakar yang antara lain menyentuh mengenai Raja Kita, tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan' dengan terperinci.
Program juga diselitkan dengan tayangan klip video 'Kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara', 'Semarak Pengibaran Bendera Negara' dan Video Animasi 'Tatacara Menaikkan Bendera Negara'.
Semasa program tersebut para penuntut berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan.
Taklimat juga dihadiri oleh Pengetua Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Dayang Rozieana Binti Haji Zini serta para tenaga pengajar sekolah berkenaan.
Program anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara.
Dengan adanya program seumpama ini diharap dapat mengukuhkan semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut melalui lagu kebangsaan dan bendera negara.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PelitaBrunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]