Home > Bahasa Melayu
PERSIB Hadiri Mesyuarat Negara Pendiri PERSILAT
ROMBONGAN Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persekutuan Pencak Silat Brunei Darussalam (PERSIB) sebelum berlepas ke Jakarta bagi menghadiri Undangan Mesyuarat Negara Pendiri PERSILAT.
February 15th, 2019 | 08:10 AM | 485 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Seramai tujuh orang rombongan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persekutuan Pencak Silat Brunei Darussalam (PERSIB) berlepas ke Jakarta, Republik Indonesia pagi tadi bagi menghadiri undangan Mesyuarat Negara Pendiri PERSILAT yang akan diadakan bermula 15 hingga 16 Februari 2019 ini di Padepokan Pencak Silat TMII Jakarta Timur, Republik Indonesia.
Rombongan yang diketuai oleh Yang Dipertua PERSIB, Pengiran Haji Mohamad bin Pengiran Haji Ludin juga disertai oleh Timbalan Yang Dipertua 1 dan Bendahari PERSIB, Pengiran Haji Abdul Karim bin Pengiran Haji Metassan; Timbalan Yang Dipertua 2 PERSIB, Awang Haji Abd Razak bin Haji Md Deli; Setiausaha Agong PERSIB, Awang Haji Abd Rahman bin Haji Mahali; Timbalan Bendahari, Awang Haji Md. Tahir bin Haji Jaludin; Ketua Lembaga Jurulatih PERSIB, Awang Haji Adanan bin Ahad dan Ketua Perhubungan, Media dan Publisiti, Awang Airul Shahrizam bin Haji Md. Daud.
Mesyuarat juga akan dihadiri oleh wakil-wakil negara pencak silat Melayu Nusantara (PENDIRI), iaitu Ikatan Pencak Silat Indonesia (IPSI), Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Persekutuan Silat Singapura (PERSISI). PERSIB, PENDIRI, IPSI, PESAKA dan PERSISI merupakan persekutuan di bawah naungan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT).
Antara agenda yang akan dibincangkan semasa mesyuarat tersebut termasuk sistem pentadbiran PERSILAT, perangkaan sidang kongres PERSILAT, masalah teknik pencak silat, penyempurnaan peraturan Pertandingan Antarabangsa, penyempurnaan peraturan Jurulatih dan Wasitjuri (Hakim) Antarabangsa serta hal-hal lain termasuk membincangkan persiapan menuju Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PelitaBrunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]