Home > Breaking News
Titah Perutusan Tahniah Sempena Pakistan Day
March 23rd, 2019 | 09:00 AM | 292 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Islam Pakistan, Tuan Yang Terutama Dr. Arif Alvi dan Perdana Menteri Republik Islam Pakistan, Tuan Yang Terutama Imran Khan serta kerajaan dan rakyat Republik Islam Pakistan sempena menyambut Pakistan Day.
Dalam titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada Presiden Republik Islam Pakistan, Tuan Yang Terutama Dr. Arif Alvi, baginda merakamkan penghargaan di atas persahabatan yang telah sekian lama dinikmati di antara kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing, dan berharap akan dapat terus berpeluang meningkatkan hubungan persahabatan tersebut di tahun-tahun mendatang.
Sementara dalam titah perutusan yang sama kepada Perdana Menteri Republik Islam Pakistan, Tuan Yang Terutama Imran Khan, baginda sangat menghargai hubungan persahabatan yang dinikmati oleh Negara Brunei Darussalam dan Republik Islam Pakistan, dan berharap akan dapat meningkatkan persahabatan baik di bidang dua hala mahupun sebagai rakan kongsi dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Pada mengakhiri kedua-dua titah perutusan baginda itu, baginda menyampaikan salam muhibah kepada Presiden Republik Islam Pakistan, Tuan Yang Terutama Dr. Arif Alvi dan Perdana Menteri Republik Islam Pakistan, Tuan Yang Terutama Imran Khan dan berharap Tuan Yang Terutama berdua akan bergembira menyambut perayaan berkenaan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PelitaBrunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]