FacebookInstagramTwitterContact

 

Meet and Greet Session           >>           Media Conference on Imagine Football Fiesta           >>           Customs Case           >>           Cooking Course           >>           Blood Donation Campaign           >>           KACA's Hari Raya Aidilfitri Celebration and Sports Day           >>           Outstanding Student Awards Ceremony           >>           World Earth Day Celebration           >>           Workplace Safety and Health Conference           >>           Welcoming Dinner Reception           >>          

 

SHARE THIS ARTICLE




REACH US


GENERAL INQUIRY

[email protected]

 

ADVERTISING

[email protected]

 

PRESS RELEASE

[email protected]

 

HOTLINE

+673 222-0178 [Office Hour]

+673 223-6740 [Fax]

 



Upcoming Events





Prayer Times


The prayer times for Brunei-Muara and Temburong districts. For Tutong add 1 minute and for Belait add 3 minutes.


Imsak

: 05:01 AM

Subuh

: 05:11 AM

Syuruk

: 06:29 AM

Doha

: 06:51 AM

Zohor

: 12:32 PM

Asar

: 03:44 PM

Maghrib

: 06:32 PM

Isyak

: 07:42 PM

 



The Business Directory


 

 



Bahasa Melayu


  Home > Bahasa Melayu


Laksana Pelbagai Inisiatif, Garis Panduan Kawal Penularan COVID-19


 


 February 14th, 2023  |  08:04 AM  |   284 views

BERAKAS

 

Sudah hampir tiga tahun, Negara Brunei Darussalam (NBD) menghadapi cabaran pandemik COVID-19, yang juga turut dihadapi oleh dunia global.

 

Mengimbas kembali pada bulan Mac 2020, negara kita dikejutkan dengan kes pertama COVID-19. Pada waktu itu, kita tidak mempunyai dinding pertahanan atau tiada imuniti dalam menghadapi wabak berkenaan.

 

Namun, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sudah merangka dan membuat persiapan awal bagi menghadapi apa juga ancaman kepada kesihatan awam termasuk wabak berkenaan.

 

Perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa berucap pada Sidang Media Normal Baharu COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.

 

“Alhamdulillah, berkat kerjasama semua pihak, kita berjaya mengawal rantaian penularan wabak dengan strategi 'Zero-COVID' dengan pelaksanaan pelbagai langkah pengawalan yang ketat sehingga kita boleh menikmati kehidupan yang seperti sebelumnya sehingga mencapai 457 hari tanpa adanya kes COVID-19 di negara ini di antara bulan Mei 2020 hingga Ogos 2021.

 

“Kemudian sejak 7 Ogos 2021 hingga ke hari ini, NBD terus menghadapi lonjakan tinggi kes-kes positif COVID-19 dalam pelbagai varian seperti Delta dan Omicron sehingga ternyata strategi 'Zero-COVID' tidak lagi praktikal, maka kita menukarkan strategi kepada 'Living With COVID-19," terang Yang Berhormat.

 

Semasa negara menghadapi gelombang-gelombang COVID-19 berkenaan tambah Yang Berhormat, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melaksanakan pelbagai inisiatif dan garis panduan dalam memastikan keamanan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat dan penduduk negara ini sentiasa terjaga.

 

Di antaranya jelas Yang Berhormat ialah Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19, penggunaan aplikasi BruHealth, ujian RT-PCR atau Ujian Pantas Antigen (ART), Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan, menjalani kuarantin, Operasi Pulih, pembukaan Dana COVID-19, Work From Home, pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian, penutupan sementara sempadan negara, serta pembukaan Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien bagi memudahkan pergerakan rakyat dan penduduk di Daerah Temburong dengan daerah-daerah lain.

 

Selain itu ujar Yang Berhormat, Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19 digubal dan dilaksanakan, yang antara lainnya mempunyai matlamat bagi pelaksanaan pelbagai sukat peralihan yang stabil dengan gangguan yang minima kepada aktiviti harian masyarakat, serta bagi membantu pemulihan ekonomi dan perniagaan yang terjejas akibat COVID-19.

 

Daripada aspek pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Nation pula, Yang Berhormat kemudiannya menerangkan dalam memastikan respons atau tindak balas dalam menangani situasi gelombang COVID-19 yang semakin meningkat pada ketika itu, Jawatankuasa Pandu COVID-19  ditubuhkan dan Pusat Penyelarasan Kebangsaan bagi COVID-19 (N3C19)  dibentuk bagi membantu pengurusan logistik bantuan yang disediakan oleh kerajaan dan pengurusan kemudahan Pusat-pusat Pengasingan.

 

Menyentuh mengenai Jawatankuasa Pandu COVID-19, Yang Berhormat menjelaskan ia adalah merupakan sebuah jawatankuasa tertinggi yang melibatkan kesemua kementerian yang dipengerusikan bersama oleh tiga orang menteri.

 

“Di bawah jawatankuasa ini terdapat lapan 'task force' yang mempunyai peranan dalam bidang keutamaan masing-masing, iaitu hal ehwal pendidikan; strategi kesihatan; jaminan keselamatan makanan; hal ehwal kesejahteraan dan kebajikan; penguatkuasaan; 'business recovery'; hal ehwal rentas sempadan; serta media dan perhubungan awam.

 

“Di sinilah para ahli jawatankuasa bersidang secara berterusan bagi merangka strategi atau pelbagai dasar serta membincangkan cadangan pelbagai langkah atau tindakan bagi semua perkara, terutamanya kesesuaian pelaksanaannya dan penerimaan orang ramai terhadap pelbagai strategi berkenaan bagi mengawal penularan COVID-19 di negara ini," jelas Yang Berhormat.

 

Yang Berhormat seterusnya menerangkan bahawa garis panduan, pelbagai dasar atau sukat pengawalan yang terkini kemudiannya diumumkan melalui Sidang Media Kementerian Kesihatan, yang merupakan sebuah wadah bagi pihak kerajaan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai situasi terkini jangkitan COVID-19 di NBD bagi menangani sebarang kebimbangan dan berkongsi maklumat dengan orang ramai, yang setentunya tertunggu-tunggu untuk memperdengarkan perkembangan terkini mengenai wabak berkenaan.

 

Sedikit demi sedikit tambah Yang Berhormat, pelbagai langkah pengawalan dikurangkan dan akhirnya rakyat dan penduduk dapat menikmati kehidupan seperti sebelumnya dengan masih lagi mengamalkan tanggungjawab kesihatan, antaranya pembukaan semula masjid-masjid dan sekolah-sekolah.

 

Bagi mewakili Pengerusi-pengerusi Bersama kini dan terdahulu serta Sekretariat Jawatankuasa Pandu COVID-19 dan Kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat seterusnya menzahirkan penghargaan dan ucapan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan (frontliners), orang awam yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat, pelbagai agensi kerajaan dan swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGOs), pelbagai pihak berkepentingan termasuk para sukarelawan atas segala pengorbanan, sokongan dan kerjasama serta memberikan bantuan selama pihak kerajaan memerangi musibah berkenaan dalam mengurangkan penularan kesan wabak jangkitan di NBD.

 

“Tidak lupa juga, ucapan penghargaan ini juga ditujukan khusus kepada semua agensi media kerajaan dan swasta, yang juga dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan (frontliners), kerana mereka-mereka ini juga bertungkus-lumus dan berani menghadapi apa juga situasi COVID-19 dengan kerap turun padang mencari maklumat dan membuat laporan terkini, semata-mata untuk menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat kepada orang ramai," tambah Yang Berhormat lagi.

 

Terdahulu, Yang Berhormat menerangkan berkat pertolongan Allah Subhanahu Wata'ala dan kerjasama bersepadu semua pihak, negara kita dapat menangani pelbagai cabaran berkenaan dengan baik. Untuk itu, sudah tiba masanya bagi kita memandang ke hadapan dengan meneruskan agenda pembangunan negara yang tergendala sebelum ini, melaksanakan pemulihan negara dan mengukuhkan ekonomi yang terjejas.

 

Ini semua jelas Yang Berhormat juga berkat daulat dan kepimpinan bijaksana Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memastikan rakyat baginda kekal aman sejahtera, dan baginda juga pernah bertitah menyarankan agar kita untuk terus meminta pertolongan dan bertakwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan berpegang teguh dan mengamalkan Vaksin Ketuhanan dan SOP keugamaan di samping melaksanakan SOP kesihatan dalam mengawal penularan COVID-19.

 

“Perjuangan memerangi COVID-19 tidak terhenti di sini dan saya menyeru untuk sama-sama terus mengamalkan segala SOP yang berkenaan atau disebatikan dengan diri sebagai langkah keselamatan masing-masing di samping terus mendukung segala hasrat dan usaha Kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meneruskan perancangan dan agenda pemulihan dalam semua perkara, agar kita terus menikmati kehidupan seperti sebelum ini yang jelas juga merupakan tanggungjawab kita bersama dan peranan orang awam merupakan faktor kritikal dalam menjayakan apa juga strategi kerajaan," ujar Yang Berhormat.

 


 

Source:
Ihsan PELITA BRUNEI

by PELITA BRUNEI

 

If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]

 

Related News


Lahad Datu Murder: Remand Of 13 Students Extende

 2024-03-30 07:57:54

Philippines: Drought Dries Up Dam To Reveal Centuries-Old Town

 2024-05-01 00:34:00

Bonza: Passengers Stranded As Australian Airline Enters Administration

 2024-05-01 00:22:41