Home > Bahasa Melayu
Penekanan Strategi Bagi Meningkatkan Ekonomi Negara
March 6th, 2023 | 09:37 AM | 108 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Perusahaan Mikro, Kecil dan sederhana (PMKS) merupakan perkara yang perlu diberi perhatian serius bagi menjadikan ia lebih menyerlah dalam menggiatkan ekonomi negara.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin berkata, melalui pendekatan tersebut, ia akan secara langsung atau tidak langsung, menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran dan mendukung sara diri rakyat agar mereka menjadi mandiri dan lebih senang.
"Perkara ini akan kaola beri tumpuan dan penekanan yang sepenuhnya, dan dalam dewan yang mulia ini, di samping perkara-perkara yang menjurus kepada strategi meningkatkan perekonomian negara dan kesejahteraan rakyat, peniaga, pemborong, petani, penternak, nelayan, pengusaha dan yang sewaktu dengannya terutama belia mestilah dituntun mereka ini untuk mencapai Wawasan Brunei 2035," kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat berkata demikian semasa menyokong usul menjunjung kasih pada hari kedua Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-19 MMN yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menyentuh mengenai titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menasihatkan Ahli-ahli MMN untuk memberikan pandangan dan sikap terbuka dalam mendapatkan pendapat dari kalangan rakyat serta membahaskan sesuatu perkara dalam dewan berkenaan, Yang Berhormat memberitahu akan mengambilnya sebagai garis panduan dalam mengajukan serta meneliti perkara dan isu strategik yang akan diketengahkan dalam mengorak langkah ke arah usaha-usaha meningkatkan lagi hasil negara.
"Penekanan baginda mengenai perihal pentingnya mengambil kira cabaran-cabaran untuk meningkatkan hasil kerajaan, di samping meneliti dan membahaskan perbelanjaan yang memberi impak positif kepada negara dan rakyat tanpa terlalu banyak membebankan kerajaan adalah menunjukkan keprihatinan baginda yang mendalam dalam menjaga hal-ehwal perekonomian negara dan kesejahteraan rakyat," ujar Yang Berhormat lagi.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]