Home > Bahasa Melayu
PSW Anjur Jualan Bazar Amal
March 16th, 2023 | 07:59 AM | 269 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Dalam usaha untuk membantu rakyat Republik Turkiye dan Republik Arab Syria, Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam (PSW) mengadakan Bazar Amal Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria bertempat di Bangunan PGGMB yang bermula hari ini hingga 17 Mac 2023.
Projek ini diadakan sebagai salah satu inisiatif PSW selaku salah satu badan NGO di negara ini dalam sama-sama berganding bahu dalam melakukan kerja amal sekali gus mendukung hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Hadir dan seterusnya melancarkan bazar tersebut, hari ini, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Mirany Floridzah binti Abdul Rahman yang kemudiannya meninjau jualan-jualan yang terdapat di bazar berkenaan.
Di samping itu, PSW juga ingin memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil (yang kurang berkemampuan dan hilang pergantungan seperti ibu tunggal) dan sederhana (MSME) untuk ikut bersama-sama menyertai aktiviti berkebajikan dalam menambah pendapatan melalui jualan dalam Bazar Amal.
Hasil penjualan meja sebanyak BND100 selama tiga hari disalurkan sepenuhnya kepada Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria.
PSW juga mengalu-alukan para peniaga (vendor) untuk menyumbangkan sebahagian hasil penjualan mereka kepada tabung kemanusiaan, namun jumlahnya adalah seangkat-angkat hati.
Sementara itu, hasil penjualan Bunga Ros yang bermula 7 Mac hingga akhir April 2023 akan disalurkan sepenuhnya kepada Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]