Home > Bahasa Melayu
Majlis Bertahlil, Sumbangan Derma Terus Giat Disemarakkan
March 20th, 2023 | 08:23 AM | 151 views
MADANG
Ahli Jawatankuasa Takmir (AJKT) Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (MSSBRPAD), Kampung Manggis / Madang, hari ini, mengadakan Majlis Bertahlil bagi ayahanda dan bonda serta anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam; Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim dan diteruskan dengan Bertahlil serta Doa Arwah Sekampung bagi penduduk-penduduk Kampung Manggis / Madang yang berlangsung di masjid berkenaan, di sini.
Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos selaku Penasihat Takmir MSSBRPAD.
Atur cara majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, diikuti dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Bilal masjid berkenaan, Awang Razman bin Haji Ramlee.
Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian derma anak-anak yatim seramai 18 orang di antaranya 11 orang Kampung Manggis 1 dan 2 serta tujuh orang dari Kampung Madang.
Majlis yang penuh keberkatan tersebut diakhiri dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah.
Majlis antara lain bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim khususnya dalam kalangan penduduk-penduduk kampung, selain sebagai salah satu aktiviti tahunan AJKT MSSBRPAD.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]