Home > Bahasa Melayu
Pidato ‘Children’s Safety’ Bawa Tuah Buat Dayang Nurulafifah
April 13th, 2023 | 07:08 AM | 104 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Dayang Nurulafifah binti Haji Hassan dengan pidato bertajuk 'Children's Safety' telah dinobatkan sebagai juara bagi Kategori Advance Level pada Pertandingan Pidato Bahasa Jepun kali Ke-34 (34th Japanese Speech Contest) 2023 yang diadakan di bangunan Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam (NBD), di sini, sekali gus menerima sijil, trofi serta tiket pergi dan balik ke Jepun.
Sementara itu, tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh Dayang Liyana Nadhirah binti Haji Yussof dengan pidato bertajuk 'Dajare' dan Awang Muhammad Nur Amin bin Muhaidini yang menyampaikan tajuk mengenai 'Memories'.
Bagi Kategori Beginner Level pula, tempat pertama dimenangi oleh Dayang Arissa Azzahira binti Haji Md Sofian dengan pidato bertajuk 'The Importance of Courage', diikuti Dayang Fatimah Amalia Nasuha di tempat kedua dengan tajuk pidato 'My Study Abroad Life In Japan'; dan Awang Omar Mohamad Maher EL-Itani yang menyampaikan tajuk mengenai 'Why I Don't Watch Anime Anymore'.
Manakala, bagi Kategori Group Presentation, juara disandang oleh penuntut-penuntut dari Seri Mulia Sarja School dengan tajuk pidato 'Beautiful Cherry Blossom', disusuli dengan pidato bertajuk 'The Japanese Smile' yang disampaikan oleh penuntut-penuntut dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah di tempat kedua; dan tempat ketiga dimenangi oleh penuntut dari Ma'had Islam Brunei dengan tajuk pidato 'Naruto'.
Para pemenang menerima sijil dan trofi, bersama pelbagai hadiah, termasuk buku-buku tulisan Jepun, kamera, baucar restoran Jepun dan sapu tangan Jepun.
Hadir selaku tetamu kehormat, Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Hazri bin Haji Kifle.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Kedutaan Jepun di NBD, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C) dan Pusat Bahasa, UBD, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum (DCCE), Kementerian Pendidikan, adalah bertujuan untuk menggalakkan dan menyediakan platform kepada para peserta menunjukkan penguasaan bahasa dan semangat mereka terhadap bahasa Jepun melalui berpidato (public speaking).
Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mewujudkan peluang kepada pelajar di negara ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Jepun.
Turut hadir, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke NBD, Tuan Yang Terutama Maeda Toru; Pengarah Pusat Bahasa, UBD, Dr. Yabit Alas; Penolong Pengarah L3C, Awang Walter Chong; Pemangku Pengarah DCCE, Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Mohamad / Mohamat; Naib Presiden All Nippon Airways Pejabat Singapura, Tsubaki Risa; Ketua Pensyarah Yayasan Jepun Kuala Lumpur, Osada Kanako; dan Presiden Persatuan Jepun, Hatanaka Hiroyuki.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]