Home > Bahasa Melayu
Terus Memanfaatkan Kelebihan Ramadan Al-Mubarak
April 13th, 2023 | 07:13 AM | 119 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Iftar Jama'ie Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) diadakan sebagai tanda syukur seluruh warga KUPU SB di atas nikmat dan rezeki yang dilimpahi oleh Allah Subhanahu Wata'ala sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.
Selain itu, acara tersebut diharapkan dapat lagi mengeratkan dan mengukuhkan ikatan silaturahim serta hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga KUPU SB.
Sehubungan itu, dalam manfaatkan kelebihan Ramadan Al-Mubarak ini, acara KUPU SB juga diselajurkan dengan Majlis Khatam Al-Quran berlangsung di Surau KUPU SB, diikuti Iftar Jama'ie di Dewan Tarbiah KUPU SB.
Hadir selaku tetamu kehormat, Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar. Turut hadir, pegawai-pegawai utama, pensyarah-pensyarah, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa / i KUPU SB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diketuai oleh Dr. Haji Adanan diikuti bacaan Khatam Al-Quran bermula dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas dipimpin oleh Awang Mohammad Hafizuddin bin Mohammad Saidi, Awang Abdul Mateen bin Haji Johari dan Awang Mohammad Ahmad Maahee bin Haji Samry, mahasiswa-mahasiswa Tahun 2, KUPU SB.
Manakala bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Awang Mohammad Syafiq bin Mohammad Suhardie dan kemudian diserikan dengan bacaan Doa Zikir dan seterusnya menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.
Adapun Iftar Jama'ie khas bagi seluruh warga KUPU SB yang mana jamuan-jamuan sungkai disediakan oleh para kakitangan, mahasiswa dan mahasiswi kolej berkenaan.
Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Jama'ie berkenaan merupakan salah satu aktiviti di dalam Program Ihya Ramadan 1444H / 2023M yang antara lain bertujuan untuk menyemai ketakwaan dalam kalangan warga KUPU SB dalam bulan penuh dengan kerahmatan dan mengambil iktibar perkara yang berkebajikan daripada perilaku yang diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam bulan ini supaya dapat diaplikasikan dalam bulan-bulan seterusnya.
Sementara objektif acara adalah untuk menyemarakkan aktiviti-aktiviti keagamaan di sepanjang bulan Ramadan dan menggalakkan warga KUPU SB secara khususnya untuk menghayati dan mencintai bulan suci Ramadan yang penuh dengan nikmat kerahmatan serta keampunan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]