Home > Bahasa Melayu
3 Pelajar Sertai SISTEMIC Di Singapura
May 24th, 2023 | 07:27 AM | 54 views
BERAKAS
Kementerian Pendidikan melalui Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP) telah menyelaras rombongan penyertaan tiga orang pelajar di peringkat Pra-Universiti dan seorang guru pengawas daripada Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan ke Pertandingan 'Singapore International STEM Innovation Challenge (SISTEMIC)' yang bermula pada 24 hingga 29 Mei 2023 di Singapura.
Pelajar-pelajar yang turut serta ialah Awang Mohammad Daniel bin Husny, Awangku Mohammad Raihaan Zeyad bin Pengiran Haji Mohammad Amirul Sarni dan Awangku Muhammad Eljaz Mateen bin Pengiran Muhammad Khairul Nizam dan seorang guru pengawas, Awang Mohammad Raymie Haji Othman daripada Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan.
Pertandingan Singapore International STEM Innovation Challenge (SISTEMIC) bertemakan 'Designing a Sustainable Tomorrow' ini dianjurkan bersama oleh Kementerian Pendidikan Singapura dan National Junior College Singapore.
Pertandingan dibukakan kepada pelajar yang berumur 15 hingga 18 tahun yang berbakat dalam sains dan inovasi. Para pelajar tersebut terlibat dalam dua jenis aktiviti pertandingan.
Dalam pertandingan STEM Innovation Challenge, para pelajar perlu mereka-bentuk prototaip untuk menyelesaikan cabaran tertentu manakala dalam pertandingan Design and Build Challenge, mereka akan dibahagikan secara kumpulan bersama pelajar-pelajar ASEAN yang lain untuk membolehkan mereka menyelesaikan cabaran yang dipertandingkan.
Di samping itu, guru penyelia juga akan mengambil bahagian dalam Educators' Symposium yang merangkumi Applied Learning Expo, bengkel amali dan learning journey dalam meneroka Authentic Learning in STEM dan hubungannya dengan pendidikan yang lestari.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]