Home > Bahasa Melayu
Keputusan Peperiksaan BCGCE Peringkat ‘O’, IGCSE Dikeluarkan
September 3rd, 2023 | 15:41 PM | 342 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Peperiksaan telah mengeluarkan keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. Peringkat 'O' dan IGCSE sesi Mei/Jun 2023.
Pada peringkat nasional, seramai 1,190 calon menduduki peperiksaan Brunei-Cambridge GCE'O' Level / IGCSE sesi Mei/Jun 2023. Daripada jumlah ini, 820 adalah calon sekolah dan 370 adalah calon persendirian.
Menyentuh mengenai pencapaian calon-calon, pada peringkat nasional, seramai 5 calon (0.42 peratus) telah berjaya memperolehi 8 'O' Level dan IGCSE ke atas dan 50 calon (4.20 peratus) telah memperolehi 5 'O' Level dan IGCSE ke atas pada peperiksaan sesi Mei/Jun 2023. Manakala 140 calon (11.76 peratus) telah memperolehi 4 'O' Level dan IGCSE ke atas.
Pada peringkat sekolah, seramai 5 calon (0.61 peratus) telah memperolehi 8 'O' Level dan IGCSE ke atas, 50 calon (6.10 peratus) memperolehi 5 'O' Level dan IGCSE ke atas dan 139 calon (16.95 peratus) memperolehi sekurang-kurangnya 4 'O' Level dan IGCSE ke atas.
Penuntut-penuntut yang telah mengambil peperiksaan tersebut bolehlah mendapatkan slip keputusan mereka di sekolah masing-masing.
Manakala calon-calon persendirian dikehendaki mengambil slip keputusan mereka di kaunter Jabatan Peperiksaan, Pusat Perkhidmatan Setempat, Aras Bawah, Blok C, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat dibuka.
Bagi mana-mana calon yang berhasrat untuk menduduki peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E Peringkat 'O' dan IGCSE bagi sesi Oktober/November 2023, Pendaftaran Late Entry masih dibukakan sehingga hari Khamis, 7 September 2023.
Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai pendaftaran peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E Peringkat 'O' dan IGCSE sesi Oktober/November 2023 bolehlah melayari laman sesawang Kementerian Pendidikan di 'www.moe.gov.bn' atau datang terus ke kaunter Jabatan Peperiksaan, Pusat Perkhidmatan Setempat, Aras Bawah, Blok C, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat dibuka.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]