Home > Bahasa Melayu
UNISSA Luaskan Rangkaian, Perkukuh Kerjasama Dalam Industri Halal
September 19th, 2023 | 07:59 AM | 94 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Dua orang tenaga akademik dari Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah berlepas ke Malang, Surabaya bagi kunjungan muhibah ke Universitas Negeri Malang (UM) dan Universitas Islam Malang (UNISMA), Malang, Surabaya, Indonesia.
Delegasi tersebut diketuai oleh Pengarah PPHT, Pengiran Dr. Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim dan diiringi oleh Penolong Pensyarah, Nor Surilawana Sulaiman.
Kunjungan merupakan salah satu inisiatif UNISSA untuk mengekalkan lagi hubungan jaringan antara UNISSA dan UM serta UNISMA yang sedia terjalin sejak beberapa tahun yang lalu.
Matlamat utama kunjungan adalah membincangkan dengan lebih lanjut perhubungan kerjasama dan memorandum persefahaman, di samping meluaskan rangkaian kerjasama dengan pakar profesional halal dari institusi pengajian tinggi di Malang dan seterusnya membincangkan kebarangkalian program pertukaran staf, pertukaran pelajar dan khidmat masyarakat di Malang.
Semasa lawatan ke UM, delegasi sempat berkunjung ke Laboratori Halalnya dan Laboratari Pembuatan Pastri, Laboratori Uji Makanan dan Laboratori Praktikal Dapur Halal.
Kunjungan tersebut telah memberi ruang kepada delegasi untuk merancang dan menyusun strategi lebih baik dalam menyediakan dan mempersiapkan pelajar-pelajar PPHT khususnya dalam bidang halal.
Delegasi seterusnya berkunjung ke UNISMA, yang diteruskan dengan perbincangan-perbincangan kerjasama dan lawatan ke pusat halal UNISMA.
Ketua delegasi juga dijemput sebagai pembentang ucaptama di International Conference on Halal Development (ICHaD) 2023 dan juga dijemput sebagai Pembentang Jemputan bagi dua sesi kuliah.
Manakala, Nor Surilawana Sulaiman juga menyampaikan kertas kerja pada ICHaD 2023.
Harapan akhir bagi delegasi, agar kunjungan berkenaan mengukuhkan lagi jaringan hubungan yang sedia ada, dan berharap agar pengukuhan kerjasama melalui pertukaran tenaga akademik, pelajar dan khidmat masyarakat dapat direalisasikan.
Perancangan-perancangan kolaborasi penyelidikan dan penerbitan juga akan dapat dilaksanakan demi manfaat bersama.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]