Home > Sports
Kasuka & Ar Rawda Menang Besar
AKSI perlawanan futsal antara pasukan OKP dengan pasukan Kasuka & Ar Rawda
July 10th, 2021 | 10:36 AM |
762 views
BERAKAS
Pasukan Kasuka & Ar Rawda menewaskan pasukan Orang Kurang Pendengaran (OKP) dengan keputusan 27 - 1, dalam Kumpulan 'B', pada Perlawanan Liga Futsal Brunei 2021 (BFL 2021), yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
Kasuka & Ar Rawda membuka pesta gol mereka apabila menggegar gawang OKP pada seawal seminit bermulanya permainan, masing-masing melalui jaringan Pengiran Muhd. Khairul Huda bin Pengiran Osman dan Mohammad Nor Azizam bin Roslan. Mohammad Nor Azizam turut mencatat nama sebagai penjaring pada perlawanan tersebut.
Belum sempat OKP mengatur strategi permainan mereka untuk sekurang-kurangnya menghampiri jurang gol, gawang OKP bolos lagi, kini oleh pemain Kasuka & Ar Rawda, Awangku Muhammad Naqib bin Pengiran Timbang, pada minit ke-2. Beliau turut menjaringkan gol-gol buat pasukannya, pada minit ke-3; ke-14; ke-23; ke-25; dan ke-32.
Kasuka & Ar Rawda terus menggandakan serangan dan berjaya menjaringkan dua lagi gol, masing-masing melalui Mohammad Faiz @ Fayz bin Hasnan; dan Ahmad 'Afif As'ad bin Haji Ali.
Mohammad Faiz @ Fayz pada perlawanan tersebut turut menjaringkan gol-gol, pada minit ke-9; ke-17; ke-19; dan ke-37.
Kasuka & Ar Rawda terus mendominasi perlawanan dan berjaya menambah cetakan gol menerusi Adde Ismawi bin Gudang, pada minit ke-7; ke-29; dan ke-37; manakala Mohammad Rosdiny bin Haji Bunal, pada minit ke-11; ke-22; dan ke-29; juga Mohammad Hazlantul Khairul Zaman bin Haji Osman pada minit ke-19; dan ke-27.
Para pemain Kasuka & Ar Rawda, iaitu Noor Raimi @ Syahremi bin Karim; Awangku Muhammad Khairul Yazid bin Pengiran Adruman; Muhammad Nur Bazli bin Awang Basar; dan Awangku Muhammad Nazirul Mubin bin Pengiran Adruman menyumbang gol mereka, masing-masing pada minit ke-20; ke-30; ke-32; dan ke-33.
Meskipun sudah jauh tertinggal, namun semangat juang para pemain OKP membuahkan hasil apabila mereka berjaya menjaringkan gol tunggal permainan melalui pemain jersi nombor 10, Md. Amiruddin bin Haji Md. Zain, pada minit ke-15.
Kedudukan 27 - 1 kekal hingga pengadil meniupkan wisel penamat bagi memberikan kemenangan mutlak kepada Kasuka & Ar Rawda pada perlawanan berkenaan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]