Home > Bahasa Melayu
Yang Di-Pertua MMN Terima Kunjungan Hormat
June 23rd, 2022 | 12:38 PM | 450 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Bernard Regnauld-Fabre, hari ini yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis.
Pada kunjungan hormat tersebut, kedua-dua belah pihak telah menyentuh beberapa isu-isu semasa yang menjadi keprihatinan dan kepentingan bersama.
Antara yang disentuh adalah mengenai bidang pendidikan di mana kemudahan pendidikan adalah antara persediaan yang penting dalam mencapai matlamat sistem pendidikan yang baik dan bermanfaat bagi pelajar-pelajar.
Pada perjumpaan tersebut juga, kedua-dua pihak menyentuh mengenai bidang perundangan di kedua-dua negara.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN mengongsikan bahawa selain daripada persidangan yang diadakan setiap tahun di dalam membincangkan perkara utama iaitu belanjawan negara, Ahli-ahli MMN juga menggunakan platform yang lain seperti Sesi Permuzakarahan dan lawatan bersama kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan untuk mengetahui secara lebih dekat lagi mengenai perkara-perkara strategik, dasar-dasar hal ehwal kerajaan dan pelaksanaan projek-projek yang berjalan dan dalam perancangan.
Dengan adanya interaksi tersebut, ia sangat membantu dan memperlihatkan akan kesepaduan Ahli-ahli MMN dengan pihak kementerian dalam sama-sama membangun negara dan mencapai matlamat dan Wawasan Negara.
Kedua-dua belah pihak merakamkan rasa penghargaan atas hubungan kerjasama yang terjalin sejak lamanya dan berharap ia akan sentiasa berkembang dan dapat diperkukuhkan lagi melalui pertukaran lawatan dan kerjasama di bidang-bidang yang sedia ada dan yang akan datang.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]