Home > Bahasa Melayu
Operasi Sepadu Keluarkan 1 Notis Peringatan, 1 Notis Amaran
November 26th, 2022 | 12:11 PM |
175 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), di Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) bersama Jabatan Hal Ehwal Pengguna (JHEP), di Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) menjalankan Operasi Sepadu, pada Selasa, 22 November 2022, di Daerah Tutong.
Ia merupakan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara rutin, dalam memastikan sebarang penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan adalah sah, tepat serta berdaftar selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151.
Operasi Sepadu juga menguatkuasakan perundangan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-peraturan di bawahnya, bagi memastikan barangan yang dikawal harga tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan oleh JPES dan pihak pengawal selia yang relevan serta barangan yang dijual untuk dibubuh tanda harga yang jelas bagi memelihara kebajikan pengguna di negara ini.
Hasil daripada operasi tersebut didapati sebanyak 14 unit alat sukat dan timbang yang digunakan dalam aktiviti jual beli adalah mematuhi akta serta peraturan sukatan dan timbangan.
Walau bagaimanapun, satu Notis Peringatan dikeluarkan ke atas sebuah syarikat, yang mempamerkan tanda berat yang tidak selaras sepertimana tanda berat yang tertera, pada bungkusan buah dan sayur segar.
Pihak pengurusan serta pekerja-pekerja pembungkus juga dikongsikan tatacara membungkus dan menimbang dengan betul.
Sementara itu, satu Notis Amaran dikeluarkan ke atas sebuah syarikat bagi kesalahan, di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142, iaitu menjual melebihi harga yang ditetapkan bagi barangan dikawal harga.
Keterangan premis perniagaan dan kawasan yang dibuat pemeriksaan mengejut adalah seperti yang tertera di dalam Rajah 1.
Para peniaga turut diingatkan untuk mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142, dalam usaha bagi membantu negara membangunkan persekitaran perniagaan yang mampan dengan menjalankan perniagaan yang beretika.
Para pembeli juga adalah dinasihatkan untuk memastikan alat-alat sukatan dan timbangan yang digunakan semasa aktiviti jual beli yang melibatkan bacaan tanda berat, isi padu, ukur panjang dan lebar, alat-alat tersebut mempunyai pelekat pendaftaran yang mengandungi tempoh penggunaan yang sah yang dikeluarkan oleh SDT.
Seperti yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994; di bawah seksyen 3(2); setiap orang yang menggunakan atau ada pada miliknya untuk kegunaan perdagangan mana-mana timbangan, sukatan alat-alat untuk menimbang yang tidak dicap sebagaimana yang dikehendaki oleh peraturan ini adalah bersalah.
Hukuman denda sebanyak BND1,000 atau penjara selama 3 bulan atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan dan timbangan, sukatan atau alat untuk menimbang yang tersebut itu adalah boleh dirampas dan sebarang kontrak, tawar-menawar, jualan atau urusan dagang yang dibuat dengan timbangan, sukatan atau alat untuk menimbang sedemikian adalah tidak sah.
Manakala, kegagalan dalam mematuhi Akta Kawalan Harga dan peraturan-peraturannya boleh dikenakan kompaun tidak melebihi BND1,000.
Kesalahan berulang boleh dikenakan denda maksimum sebanyak BND20,000 dan penjara selama lima tahun.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]