Home > Bahasa Melayu
Bertindak Secara Dinamik, Berinovatif, Proaktif Mantapkan Perkhidmatan
November 27th, 2022 | 07:54 AM |
287 views
KUALA BELAIT
Kesihatan serta Perkhidmatan Kesihatan adalah dua aspek yang saling berkait rapat, di mana kesihatan adalah satu aset yang sangat bernilai dan perkhidmatan kesihatan adalah keperluan asas yang sangat penting dalam perawatan pesakit.
Dengan adanya rakyat dan penduduk yang sihat serta perkhidmatan kesihatan yang berkembang maju, keutuhan, kestabilan dan perkembangan sosioekonomi negara yang berdaya tahan dapat dicapai.
Perkara itu, dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku tetamu kehormat majlis ketika berucap di Majlis Sambutan Jubli Emas sempena Memperingati 50 Tahun Penubuhan Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Kuala Belait.
Oleh yang demikian, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sangat prihatin dalam memastikan kesejahteraan Penduduk dan Rakyat di Negara Brunei Darussalam sentiasa terjamin serta terpelihara melalui penyediaan pembangunan prasarana dan infrastruktur kesihatan yang mampu memberikan perkhidmatan kesihatan secara komprehensif, menyeluruh serta mantap, mengikut perkembangan dan peredaran semasa.
''Alhamdulillah, dengan adanya kerjasama dari semua pihak dan pelbagai kemudahan-kemudahan yang telah disediakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, negara kita telah berjaya menepati sasaran-sasaran kesihatan yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization), termasuk juga beberapa Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) yang berkaitan dengan kesihatan dan pada masa ini, sudah berjaya memenuhi beberapa sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030,'' ujar Yang Berhormat lagi.
Mengimbas kembali akan pencapaian HSSB sepanjang lima dekad ini, jelas Yang Berhormat, kita dapat melihat beberapa aspek pencapaian dan perkembangan, termasuk penambahan perkhidmatan serta penyediaan kemudahan prasarana perkhidmatan semata-mata bagi tujuan memberikan perkhidmatan perubatan yang efisien, efektif serta berkualiti tinggi seperti yang dihasratkan sejak perkhidmatannya mula dibuka, pada Oktober 1972.
Sepanjang 50 tahun, tambahnya, HSSB berhasil mengembangluaskan perkhidmatan klinik dalam pelbagai bidang kepakaran, meliputi perkhidmatan klinikal dan diagnostik serta perkhidmatan Profesional Kesihatan Bersekutu, seperti Anestesia, Perubatan Dalaman, Pembedahan Umum, Pediatrik, Obstetrik dan Ginekologi, Kecemasan, Oftalmologi, Ortopedik, Otorinolaringologi dan Sajikal.
Ini, termasuk perkhidmatan Bilik Bedah / Bius, Dialisis Endoskopi, Klinik-klinik Pakar, Pergigian, Psikiatri, Radiologi, Makmal dan Farmasi.
''Dalam melangkah tahun-tahun mendatang, diharapkan semua peringkat pegawai dan kakitangan dapat menambahkan usaha, keazaman dan tekad secara berterusan ke arah meningkatkan prestasi dan kualiti penyampaian perkhidmatan.
''Justeru itu, setiap warga HSSB hendaklah bertindak secara dinamik, berinovatif dan proaktif, dalam memantapkan lagi perkhidmatan masing-masing ke arah kecemerlangan dan kegemilangan yang jitu,'' saran Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Ini, tambahnya lagi, akan mengukuhkan fungsi dan peranan HSSB dalam merealisasikan bukan sahaja Visi Kementerian Kesihatan, iaitu ''Bersama Ke Arah Warga Sihat'', tetapi juga Wawasan Brunei 2035, iaitu 'Kualiti Kehidupan di kalangan 10 Negara Teratas di Dunia'.
Dalam pada itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga turut mengalu-alukan buku 'Lakaran Kecemerlangan 50 Tahun Hospital Suri Seri Begawan' yang akan diterbitkan, di mana buku tersebut adalah sebagai bahan rujukan yang sangat penting mengenai sejarah perkembangan dan pencapaian HSSB sepanjang lima dekad.
Buku tersebut akan turut memaparkan aktiviti dan program yang dilaksanakan dalam tempoh 50 tahun oleh setiap bahagian dan unit di HSSB sebagai catatan yang sangat berguna, bukan sahaja bagi pihak Kementerian Kesihatan, malahan kepada orang ramai sebagai ristaan sejarah.
Kesemua pencapaian dan perancangan sistematik yang terarah, jelasnya, akan memberi kesan positif yang setentunya memberi impak pada peningkatan imej serta integriti hospital serta menambah keyakinan orang awam terhadap perkhidmatan yang diberikan.
HSSB, Kuala Belait telah mencapai usia 50 tahun penubuhannya, pada bulan Oktober 2022 dan hospital berkenaan menyambut Ulang Tahunnya Yang Ke-50 semenjak penubuhannya, dengan mengadakan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas HSSB, di Dewan Serbaguna, HSSB, Kuala Belait.
HSSB yang terletak di Kuala Belait, 107km dari Bandar Seri Begawan adalah hospital yang kedua terbesar di Negara Brunei Darussalam.
Memulakan perkhidmatannya pada Oktober 1972, dengan kemampuan kapasiti 222 buah katil dan lebih 621 tenaga kerja di dalam pelbagai bidang profesional dan teknikal, hospital ini menyediakan perkhidmatan perubatan kepada lebih kurang 65,000 penduduk di Daerah Belait.
Dalam usia genap 50 tahun, HSSB berkembang maju, bukan sahaja dari segi prasarana, infrastruktur dan peningkatan jumlah tenaga kerja, tetapi juga pencapaian dalam perkembangan perkhidmatan, peralatan perubatan serta teknologi hospital, selaras dengan seruan visi 2035 Kementerian Kesihatan yang komprehensif dan penekanan kecemerlangan dalam perkhidmatan, termasuk pendekatan secara holistik dalam penjagaan kesihatan yang memfokuskan pada promosi, pencegahan, rawatan serta pemulihan.
Antara acara yang diadakan di Majlis Perasmian tersebut, Tayangan Video Jubli Emas Penubuhan HSSB dan Penyampaian Anugerah-anugerah Penghargaan bagi Anugerah Penderma Darah 5 Teratas; Anugerah Pekerja Cemerlang; dan Anugerah Pekerja Lama Berkhidmat, yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis tersebut juga menyediakan pameran-pameran jubli emas yang dikendalikan oleh Perkhidmatan-perkhidmatan di bawah HSSB.
Pelbagai program dan aktiviti juga dirancang untuk diadakan sebagai kesinambungan serta memeriahkan lagi Sambutan Jubli Emas Penubuhan HSSB.
Antara acara sambutan tersebut, Ceramah Kesedaran Kanser; Hari Karnival Keluarga, di mana akan diadakan pada 3 hingga 4 Disember 2022; Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan 50 Tahun Perkhidmatan HSSB; dan kejohanan sukan yang dijangka akan diadakan pada awal tahun 2023.
Bagi acara Hari Karnival Keluarga tersebut itu nanti, beberapa aktiviti dirancang, seperti Fun Run 3km; Basikalton 15km; Kempen Derma Darah; Pemeriksaan Kesihatan (Health Screening); Pemeriksaan Pergigian (Dental Screening); dan pelbagai aktiviti permainan serta jualan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]