Home > Bahasa Melayu
Projek Amal Jiwaku Ikhlas Ringankan Beban
November 28th, 2022 | 13:06 PM |
165 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Dalam sama-sama merebut peluang membantu masyarakat, terutamanya golongan yang memerlukan, Projek Amal Jiwaku Ikhlas bagi Edisi Ke-20 kali ini menghulurkan sumbangan kepada seramai 20 ibu tunggal serta keluarga masing-masing yang berlangsung di The Core Residential College, Universiti Brunei Darussalam.
Pada majlis tersebut, pihak Projek Amal Jiwaku Ikhlas menyerahkan sumbangan berupa beras, gula, minyak, barang makanan asasi, air mineral, Surgical Face Mask, tikar solat, Tissue rolls, Krispy Krunchiez, baucer pembelian dan lain-lain yang bernilai lebih BND300.
Majlis penyerahan sumbangan kepada anak-anak yatim berkenaan disempurnakan Pengarah dan Pengasas Kris Karmila Kreations Co., Dayang Hajah Karmila binti Haji Sapar (Kris Karmila).
Menurut Dayang Hajah Karmila, Projek Amal Jiwaku Ikhlas setakat ini berjaya membantu lebih 3,000 individu dan keluarga terdiri daripada masyarakat tempatan juga warga asing, iaitu pekerja luar yang berada di negara ini yang terkesan kerana kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.
Jiwaku Ikhlas Edisi Ke-20 hari ini, mengagihkan sumbangan daripada Kris Karmila Kreations, Krispy Krunchiez, UBD Corporation, Al-Huffaz Management, Maju Motor, Ad Adwa serta ahli keluarga dan rakan-rakan yang lain.
“Semoga projek yang penuh bermakna ini dapat terus diungkayahkan dengan sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak. Saya dengan ini ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, terutama sekali kepada suami, anak-anak serta sahabat handai serta kepada semua yang terlibat memberikan dorongan dan sokongan selama ini," ujarnya.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]