Home > Breaking News
Berkenan Menyertai Sesi Bergambar Skuad DPMM FC
December 6th, 2022 | 10:50 AM | 418 views
JERUDONG
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, juga selaku Pengerusi Kelab Bola Sepak DPMM FC, berkenan berangkat menyertai sesi bergambar ramai bersama ahli pengurusan kelab dan skuad DPMM FC, yang baharu sahaja dinobatkan sebagai juara Piala FA Brunei 2022.
Sesi bergambar ramai tersebut berlangsung di Stadium Mini Jerudong.
Juga hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim bin Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr.) Kemaluddin Al-Haj, selaku Timbalan Pengerusi DPMM FC.
Turut menyertai bagi sesi bergambar ramai ialah Pengurus Pasukan DPMM FC, Awang Ali bin Haji Momin.
Selesai sesi bergambar ramai, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan beramah mesra bersama ahli pengurusan kelab dan pemain-pemain pasukan DPMM FC.
Pasukan DPMM FC berjaya menjulang Piala FA Brunei 2022 setelah menewaskan Kasuka FC dengan keputusan 2 - 1, dalam aksi perlawanan yang berlangsung di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, pada 4 Disember 2022 baru-baru ini.
Pada acara tersebut, dua pemain DPMM FC turut menerima Anugerah Pemain Muda Terbaik yang diberikan kepada Awang Muhammad Hakeme Yazid Said, manakala Pemain Terbaik diterima oleh Awang Muhd. Nurikhwan Othman.
Sementara Muhammad Azwan Ali Rahman telah diberikan peranan sebagai kapten pasukan, menerajui skuad yang dibarisi dengan gabungan pemain muda dan berpengalaman, dan di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Mohammad Helme Panjang.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]